Jumaat, Mac 09, 2007

Jangan semua jadi ustaz ustazah

Bismillah

Baru-baru ini saya terbaca satu wawancara wartawan Dewan Sastera bersama penulis muda yang namanya semakin masyhur iaitu Faisal Musa atau lebih dikenali dengan Faisal Tehrani.

Pelbagai persoalan yang diajukan kepada beliau. Antaranya persoalan berkaitan pengetahuan beliau tentang Syiah.

Beliau menjawab dengan menyatakan pengetahuannya tentang Syiah tidak berapa mendalam. Beliau memperoleh maklumat berkaitan Syiah ketika beliau menuntut di UM dalam bidang Syariah. Dalam jawapannya, beliau turut menyatakan penghargaan dan sangat berhutang budi kepada para gurunya.

Beliau juga memetik satu daripada kata-kata gurunya Datuk Dr Mahmud Zuhdi yang menyarankan agar anak didiknya tidak semua menceburi bidang ustaz-ustazah. Masuklah ke bidang lain dan sampai Islam di sana.

Kata-kata umpama ini, pada hemat saya adalah suatu yang sangat bagus. Pelajar agama, secara tidak langsung merupakan seorang pendakwah yang mana antara matlamat pendakwah adalah untuk menyampaikan dakwah.

Maka, dalam bidang dakwah adalah tidak lengkap rukunnya tanpa sekelompok manusia yang dipanggil mad'u. Mad'u pendakwah adalah umum dan bertebaran dimerata tempat dan tidaklah mereka berhimpun pada satu bidang yang ustaz ustazah secara formal mendudukinya.

Oleh itu, bukan mudah mereka yang menduduki profesion ustaz ustazah menembusi mad'u di luar lingkup mereka. Mungkin juga mampu menembusinya, tetapi adalah tidak sama dengan mereka yang duduk bersama dalam sesuatu bidang. Mungkin juga dakwahnya tidak lestari dan bermusim. Contohnya mengadakan ceramah maulidur rasul di kilang. Dakwahnya hanya tertumpu ketika majlis tersebut.

Maka, adalah menjadi suatu yang menarik dan suatu impak yang bagus bagi Islam jika golongan pelajar pengajian Islam menebarkan bidang kerja mereka ke sayap-sayap yang lain selain profesion ustaz dan ustazah. Moga dengan itu, secara tidak langsung dakwah akan tersebar di merata tempat.

Sekadar kongsi pandangan.
Wallahu a'lam

Tiada ulasan: