Selasa, Mac 20, 2007

Tenaga manusia sudah tidak diperlukan lagi

Bismillah

Saya baru 2 hari berada di darat setelah 3 malam menghinap di pulau Tinggi. Pelbagai pengalaman ditempuhi. Antara yang menarik ialah menaiki bot secara live yang merupakan pengalaman pertama setelah lebih 20 tahun menetap di bumi. Menikmati angin laut dan merasai bagaimana air hanya beberapa jengkal menghampiri dasar bot.

Menjalankan tugas sebagai persiapan menyambut kedatangan YB Dato Pengarah JPK di Tinggi Island Resort kepunyaan Kop Permodalan Melayu Negeri Johor syarikat tempat saya bekerja.

Saya dihantar di sana kononnya sebagai penepis hantu, jin dan syaitan. Khabarnya resort ini sudah 6 bulan tidak dihuni yang juga merupakan tapak tanah perkuburan. Seram sejuk juga mendengar. Namun, keghairahan nubari mahu menikmati panaroma pulau dan pengalaman yang sangat berharga, memadam segala kecurigaan hati dan jiwa yang agak gentar.

Kami bertujuh memasuki pulau pada hari khamis 2 hari sebelum ketibaan rombongan. Ketibaan kami di resort agak selesa kerana lalang dan rumput yang tingginya menyamai orang telah pun dibersihkan oleh pekerja-pekerja indonesia yang terlebih dahulu memasuki pulau. Keadaan sudah agak stabil. Tinggal membuat tugasan mengemas bilik dan menyiapkan beberapa perkara.

Tugas kami juga agak ringan kerana dibantu oleh ramai pekerja indon yang diimport dari ladang kelapa sawit KPMNJ. Bagi saya, di sinilah bermula sebuah riwayat menyahat hati.

Menonton satu paparan cerita secara langsung penghidupan seorang yang dalam bahasa kasarnya boleh disebut balaci atau pecacai. Kehidupan mereka umpama berada di kasta paling bawah.

Pelbagai tugasan dibuat. Setibanya kami di jeti, merekalah yang mengangkut segala peralatan termasuk beg baju kami.

Sumber elektrik pulau dijana melalui generator yang memerlukan sumber minyak yang banyak. Bertong-tong minyak dibawa naik dari darat. Pekerja indon ini juga yang mengangkat.

Cadar, sarung bantal, sarung tilam, air mineral, bahan makanan dan segala kelengkapan, mereka yang angkut bawa ke tempat penghinapan.

Ketika makan, mereka tidak dibenarkan makan bersama kami. Kata mereka tuan besar tidak benarkan. Mereka makan di belakang kafe. Tidak juga dibenarkan makan kuah dan minum air batu kerana dikhuatiri tenaga akan berkurangan.

Melihat situasi dan keadaan sebegini, bila dihayati, hampir menitis air mata saya. Saya adalah generasi ketiga yang memang asal keturunan dari indonesia. Bagi saya, mereka bagaikan kaum keluarga kita. Kerana kebanyakan kita berasal dari sana. Tapi kita kadang-kadang lupa bila sudah kaya dan berharta sedangkan kita berasal dari sumber yang sama.

Bila begitu, saya bersyukur dengan segala apa yang Allah kurniakan. Walaupun hidup saya agak susah, tapi tidaklah seteruk dan sedahsyat kerja mereka. Saya juga bersyukur ibu dan ayah saya walau dalam keadaan sukar, mampu menghantar saya belajar hingga ke luar negara. Tidak perlu saya menjadi balaci atau pecacai muda angkat najis.

Blog tulisan saya ini, saya kira kebanyakan pembacanya adalah pelajar mesir. Oleh itu, suka untuk saya mengajak rakan-rakan di Mesir dan semua sidang pembaca agar kita jangan lupakan Illahi. Sebarkan seluruh rasa syukur menjalar dan memasuki seluruh sel dan organ badan kita. Tebarkan ke seluruh kehidupan kita.

Mereka yang masih menuntut, belajarlah bersungguh-sunguh hingga lulus cemerlang. Walaupun bukan sijil matlamat utama kita, tetapi ia sudah menjadi suatu yang dhoruri dalam kita meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini.

Perlu juga kita mengusai pelbagai ilmu tambahan umpama komputer, teknologi maklumat dan sebagainya. Ilmu-ilmu berkaitan pengurusan organisasi juga teramat penting bagi memastikan kehidupan kita licin dan tidak kekok.

Pulang ke Malaysia, tugas kita tidak semata-mata buka kitab, berhujah atau cuma mengeluarkan fatwa. Kita akan mengurus dan mentadbir pelbagai perkara.

Di samping itu kita perlu kreatif dalam mencipta peluang kerjaya. Kehidupan hari ini semakin tertekan. Kadar inflasi dijangka meningkat 2.5 peratus pada tahun ini. Ekonomi dunia juga agak kucar-kacir dan tidak menentu. Sedangkan duit bukan segalanya, namun segalanya memerlukan duit.

Negara kita sedang menuju matlamat mencapai negara maju. Tahukah anda suatu masa nanti tenaga manusia tidak lagi diperlukan. Hari ini pun kalau kita pergi membuat urusan di bank, kebanyakan transaksi tidak lagi menggunakan tenaga manusia. Kemasukan cek, deposit wang, pembayaran loan dan sudah banyak perkara menggunakan mesin.

Oleh itu, tenaga manusia keperluannya semakin berkurang dan akan terus berkurang sedangkan dalam masa yang sama manusia semakin hari semakin ramai. Apakah yang akan kita lakukan atau apakah pekerjaan yang akan kita lakukan kelak?

Tidak mustahil juga suatu hari nanti murid-murid akan hanya duduk di rumah. Guru-guru akan mengajar secara online atau mungkin tenaga pengajar tidak lagi diperlukan lantaran bersepahnya sumber pendidikan dan cara pembelajaran yang moden. Segalanya tidak mustahil.

Sampai bertemu dilain tulisan. Sekadar memberi pandangan dan nasihat. Juga sekadar berkongsi pengalaman dan cerita agar segala yang baik kita jadikan tauladan dan pedoman.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: