Isnin, Disember 27, 2010

Bunyi-bunyian (I)

Bismillah

Bunyi-bunyian adalah elemen penting dalam kehidupan. Rasulullah s.a.w menerima wahyu Allah SWT juga melalui elemen bunyi-bunyian. Baginda Muhammad s.a.w menyampaikannya kepada para sahabat juga menerusi elemen bunyi-bunyian. Rasulullah mengajar setiap ayat al-Quran juga melalui elemen bunyi-bunyian.

Firman Allah Ta’ala:

Maksudnya: Apabila kami Telah selesai membacakannya Maka ikutilah bacaannya itu.
(Surah al-Qiyamah: 18)

Setelah sahabat Junjungan Besar Muhammad s.a.w mendengar ayat-ayat tersebut, menghafaz dan mahir membacanya, barulah ia dipindahkan kepada paparan dan medium yang boleh dilihat. Pada saat itu, mereka hanya menggunakan medium berbentuk tulang, pelepah tamar dan pelbagai sumber alam lain yang terdapat di sekitar mereka.

Elemen bunyi-bunyian juga diadaptasi Baginda Muhammad s.a.w dalam usaha menyampaikan dakwah islamiah. Baginda menyampaikan ceramah, syarahan, khutbah dan pelbagai ajaran islam adalah melalui elemen bunyi. Hadis-hadis Baginda Muhammad s.a.w yang sampai kepada kita pada hari ini dengan pelbagai medium percetakan mahupun elektronik adalah asal pengriwayatannya melalui medium bunyi-bunyian. Malahan Rasulullah s.a.w melarang para sahabat menulis selain daripada al-Quran semasa penurunannya belum sempurna sebagai langkah pencegahan daripada berlaku kekeliruan dikalangan umat islam. Baginda sangat khawatir andai tutur kata, perbuatan dan taqrir baginda disalah anggap sebagai wahyu kalamullah.

Seterusnya bila diteliti perjalanan dakwah dan ilmu islam semenjak kelahiran Junjungan Besar Muhammad s.a.w hingga ke saat ini, elemen bunyi-bunyian begitu memainkan peranan yang amat besar. Peranannya bertambah besar pada saat dan ketika ini apabila masa semakin jauh daripada kehidupan Junjungan Besar Muhammad s.a.w. Pada saat dan ketika ini, Rasulullah s.a.w sudah tiada lagi bersama kita. Tiada jasad Baginda yang berdiri mengajar dan berdakwah melainkan ajaran dan ilmu warisan baginda.

روى أبو داود والترمذي وابن ماجه وابن حبان في صحيحه وغيرهم أن النبي صلى الله عليه وسلم قال في ضمن حديث طويل:" إن
العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يورِّثوا دينارًا ولا درهمًا، إنَّما ورَّثوا العلم، فمن أخذَه أخذ بحظٍّ وافر".

Maksudnya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris anbiya. Dan sesungguhnya para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya, dia telah mengambil suatu keuntungan yang melimpah ruah. (HR Abu Daud, Turmuzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dalam sohihnya dan lain-lain)

Kita tidak pernah melihat. Kita juga tidak pernah menyaksikan apatah lagi mendakap batang tubuh insan mulia bernama Muhammad s.a.w. Kita hanya mendengar dan pendengaran itu sudah pastinya melalui elemen bunyi-bunyian. Bahkan, kita adalah golongan yang dirindui Baginda Muhammad s.a.w.

بكى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال له أصحابه ما يبكيك يا رسول الله ؟ قال: اشتقت الى اخوانى , قالوا أولسنا أخوانك يا رسول الله؟ قال: لا أنتم أصحابى, أما اخوانى فقوم يأتون من بعدى يؤمنون بى ولم يرونى

Maksudnya: Telah menangis Rasulullah s.a.w. Bertanya sahabat kepada Baginda: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Aku merindui saudara-saudaraku.” Mereka berkata: “Bukankah kami saudara-saudaramu wahai Rasulullah?” Jawab Baginda: “Tidak. Kalian adalah sahabat-sahabatku. Adapun saudara-saudaraku mereka adalah suatu kaum yang datang selepasku dan beriman kepadaku, tetapi mereka tidak pernah melihatku. ”

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: