Sabtu, Disember 04, 2010

Terima kasih Cikgu

Bismillah

Semasa kami sama-sama belajar di tingkatan tiga dahulu, kami ada seorang cikgu bernama Katijah. Suatu masa dahulu, sekolah kami, tiada guru pakar. Pihak sekolah terpaksa memanggil guru pakar dan mahir daripada sekolah menengah aliran biasa. Sebagaimana maklum, kami cuma sekolah agama rakyat yang serba-serbi kekurangan.

Cikgu Katijah adalah guru matematik kami. Beliau memang pakar dan mahir dalam matematik. Cuma kami (terutama saya) tidak memanfaatkan kepakarannya. Asbab demikian, matematik sekadar D dalam PMR dan mendapat 'cermin mata' dalam SPM.

Cikgu Katijah seorang guru yang agak banyak bersuara dan boleh dikatakan becok juga. Beliau sering menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap kami. Antaranya, kenapa pelajar sekolah arab sekadar memenuhi pasaran Jabatan Agama, guru dan beberapa bidang yang kecil sahaja. Kenapa tidak pergi ke bidang dan lapangan yang lebih luas dan pelbagai. Demikian suara Cikgu Katijah. Kadang-kadang, beliau seperti memperlekeh dan merendahkan kami sebagai anak-anak SAR. Asbab kata-kata dan kritikan beliau, membawa kami mengkritik dan mengata beliau juga kerana geram. Kadang-kadang beliau sekadar mengenakan anak tudung yang diikat separas leher sahaja. Itulah isi penting dan kesalahan utama yang menjadi buah bicara kami.

Semua yang di atas, telah lama berlalu. Kadang-kadang menangis dan kadang-kadang tersenyum ketika mengenang sejarah kehidupan. Namun, tanpa saya sedari, kata-kata, teguran, sindiran dan pelbagai lontaran Cikgu Katijah, rupa-rupanya sangat berbekas dan memberi kesan kepada diri.

Atas dasar menyahut cabaran dan membela maruah anak-anak SAR, saya bernekad dan bercita-cita membuktikan kepada masyarakat bahawa anak-anak SAR bukan sekadar jadi ustaz semata. Oleh itu, saya memberanikan diri, buat pertama kali dalam sejarah hidup, setelah pulang daripada al-Azhar, saya menceburkan diri dalam sektor koporat. Saya tolak tawaran bekerja di Majlis Agama dan saya menerima tawaran sebagai Eksekutif Pemasaran di Syarikat KPMJ Gold Sdn. Bhd.

Sungguh besar rintangan dan cabarannya. Suatu bidang yang tidak pernah saya susuri dan ceburi. Tiga belas bulan saya bekerja di sana. Oleh kerana jiwa saya membuak-buak dan meronta-ronta ingin sering bercakap di khalayak, saya mengambil keputusan mengajar di sekolah lama sehingga saat ini.

Di sekolah lama, saya rasa selesa, suasana mendokong dan membantu saya memperkemas kembali apa yang pernah dipelajari di universiti. Anugerah yang amat besar bila saya dapat mengingat kembali pelbagai perkara yang telah lama ditinggalkan dan lupa. Anugerah yang tidak ternilai juga bila saya dapat berkongsi dan mencurah bakti untuk anak bangsa. Dalam masa yang sama, saya masih punya cita-cita dan impian menyahut cabaran Cikgu Katijah. Walaupun saya telah masuk bidang yang beliau kritik dan persoal, azam saya masih tersemat dalam.

Alhamdulillah, takdir dan kuasa Allah, meletakkan saya dan beberapa rakan di kalangan ustaz dan berpendidikan agama, pada satu program pengajian sarjana dalam bidang dan disiplin yang merentasi sempadan. Program yang pertama seumpamanya di Malaysia, kami di wajibkan membuat kajian mengenai isu sains halal dan ia akan membawa kami menelaah sains, teknologi dan kajian makmal. Saya sendiri mengambil tajuk Tindak balas sistem metabolisme tubuh terhadap makanan ubahsuai genetik. Tajuk yang bukan dalam disiplin dan bidang saya.

Walau apa pun, saya bersyukur. Mudah-mudahan Allah bantu dan berkati kami semua. Bukan kami mahu nama, cuma mahu islam gemilang semula. Sejarah telah membuktikannya. Sarjana silam, pakar bidang syariah, fekah, usuluddin, al-Quran dan pelbagai lagi yang khusus dalam nilai ajaran islam, dalam masa yang sama, secara serentak, mereka juga pakar botani, perubatan, astronomi dan pelbagai bidang lagi.

Terima kasih Cikgu Katijah yang telah membuka minda dan kotak fikir saya. Moga Allah berkati sekalian guru saya. Amin...

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: