Ahad, Disember 17, 2006

Ku sangka hanya di Cairo sahaja

Bismillah

Buat pertama kalinya setelah dua bulan di Malaysia, Allah mengizinkan saya memijak ibu kota negara pada 14 hari bulan yang lalu. Seronok melihat suasana dan memesrai bandaraya dalam taman yang indah.

Perjalanan saya ke Kuala Lumpur adalah untuk bersama-sama mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR'06). Kami peserta-peserta MPR menginap di Mandarin Court Hotel berhampiran Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga berhadapan dengan Stadium Merdeka.

Hati gembira metah. Juga syukur yang tidak terlafaz bila saya diletakkan di sebuah hotel yang sangat selesa. Sepanjang hayat saya, selama saya mengikuti pelbagai kursus dan seminar, tidak pernah ditempatkan sebuah penginapan yang istimewa umpama ini.

Saya diletakkan di bilik 1405. Kebetulan angka tersebut sama dengan tahun kelahiran saya mengikut kelender hijrah. Dari bilik saya, dengan jelasnya Stadium Merdeka dapat dilihat.

Pada malam hari sesudah usai program di DBP, kami semua balik ke hotel. Lebih kurang jam 12.30 malam, keripuhan tidak mampu dikekang lagi di Stadium Merdeka. Berdentam-dentum bunyi gitar, drum dan pelbagai lagi bunyi nyanyian yang amat membingitkan. Lantas, saya terkenang beberapa lembar kenangan di kota Cairo. Suasana bingit dan ripuh umpama ini, selalu berlaku terutama ketika pembukaan kedai baru. Kusangka hanya di Cairo sahaja, rupanya tidak.

Pada 15 hari bulan, hari jumaat. Kami dibawa melawat sebuah kilang percetakan di Ulu Kelang bernama DAWAMA. Kami dibawa melawat kilang dan sebelumnya kami diberi taklimat beberapa hal berkaitan percetakan.

Menjelang solat jumaat, kami semua dibawa bersembahyang di Masjid Al-Ridhwan, Ulu Kelang. Sungguh saya tidak menyangka, kehadiran kami disambut seorang pengemis perempuan bersama dua orang anaknya di hadapan pintu masuk. Lantas, saya terkenang beberapa lembar kenangan di kota Cairo. Suasana umpama ini, memang berlaku di kawasan masjid di bandar Cairo. Kusangka hanya di Cairo sahaja, rupanya tidak.

Usai solat jumaat, satu lagi teragedi menggugah atma saya. Saya cuba bertenang, relaks dan buat macam tiada apa-apa berlaku. Sambil menuruni tangga masjid, mata saya merayap ke merata tempat mencari kasut. Saya sangat yakin, saya meletekkan kasut di sudut itu. Tapi, tiada. Setelah itu, batang tubuh saya pula dibawa merayap sekitar masjid mencari kasut. Namun, natijahnya mengecewakan. Lantas, saya terkenang beberapa lembar kenangan di kota Cairo. Suasana umpama ini, sering berlaku di bandar Cairo. Kusangka hanya di Cairo sahaja, rupanya tidak.

Demikian antara cebisan kenangan ketika berada di Kota Kuala Lumpur. Semuanya menyeronokkan. Lantas hati bergetus, 'Kusangka hanya di Cairo sahaja.'

Alhamdulillah, akhirnya usai MPR'06. Walau saya hadir agak lewat beberapa hari, namun kenangannya tertanam hingga ke dasar hati. Ukhuwah yang bertaut erat, bimbingan dan tunjuk ajar, juga bantuan dari semua pihak, membuat hati tidak mampu melupakan MPR'06.

Terima kasih tidak terhingga buat Abg Zaid yang membantu saya menyertai MPR'06, buat Abg Shahrun yang banyak berkorban, buat Kak Nisah, Kak Rai, Abg Lutfi, Abg Samsudin juga Abg Zaid sebagai mentor yang membimbing kami, buat Kak Yaya dan Kak Zeti, buat En Jusoh dan En Osman yang telah membawa saya ke PD, buat Abg Syed yang telah membawa kami semua ke pelbagai destinasi dan buat semua yang terlibat dalam MPR'06.

Salam ukhuwah fillah buat Lan, Fadli, Saufi, Azree, Syahrazi, Faizal yang sudi meminjamkan kasut, Fairuz, Firdaus, Daia, Eina, Izzah, Yana, Sal, Nabihah, Feda, Nissa, Habsah, Sapiah, Azma, Wanie, dan Fizah. Moga ikatan ukhuwah kita terus lestari. Selamat berkarya dan selamat meneruskan perjuangan.

Wallahu a'lam.

3 ulasan:

faizalnizam berkata...

kejadian yang tak disangka sangka kan.. padahal dah letak asing asing.. tapi apakan daya.. harap ada hikmah di balik kejadian itu.. ko releks jer kan.. aku pulak yang marah ..

-faizal-

MZP berkata...

Kusangka hanya di Cairo saja. Kau dah pandai pegang satu kata yang paling menggugah dalam sepanjang tulisan.

Macam itulah. Menumpukan pembaca pada satu titik dan menghanyutkan ke mana saja yang kau suka.

Lama tak jumpa ya, Amli?

Zaid Akhtar berkata...

dicurinya kasut tak apa
jangan dicurinya hati...

:-)