Selasa, Mei 15, 2007

Ruang dan peluang

Bismillah

Ruang dan peluang

Pernahkah anda mencincang air? Bagi yang belum mencubanya, pastikan anda lakukan dahulu sebelum meneruskan membaca tulisan ini. Bagi yang sudah ada pengalaman, mari sama-sama kita kongsikan pengalaman tersebut.

Pepatah melayu ada berkata, "air yang dicincang tidak akan putus." Perumpamaan ini sungguh-sungguh berlaku dan tidak berbohong sama sekali.

Pernahkah anda bermandi-manda di air terjun? Cuba kita perhatikan bagaimana air itu mengalir. Ia tidak pernah berhenti walau di hadapannya pelbagai halangan dan rintangan. Kita perhatikan walaupun di hadapannya terdapat bongkah batu yang amat besar, air tetap mampu mengalir.

Air; adalah antara makhluk yang tidak putus asa. Kita sekat kiri, ia akan mengalir ke kanan. Begitu sebaliknya hatta kita meracik-racik atau mencincangnya halus-halus, ia tidak akan putus. Ia sentiasa mencari jalan, ruang dan peluang untuk mengalir serta meneruskan perjalanan.

Pada daun keladi atau kerusi plastik, mungkin tidak ada ruang atau peluang baginya untuk meresap. Ia hanya diberi peluang untuk mengalir.

Saya pernah menonton rancangan Animal Planet yang mengisahkan kehidupan haiwan. Saya saksikan bagaimana cheetah, singa atau harimau mendapatkan santapannya. Cheetah contohnya. Walaupun kelajuan lariannya begitu tinggi, dia tidak boleh semberono mengejar mangsanya. Dia akan menunggu dan mencari ruang serta peluang yang sesuai.

Begitu juga burung Raja Udang yang sering menenggek di tepi sungai. Makanannya adalah ikan. Dia juga tidak semberona menyambar ikan yang sedang gembira berenang-renang. Dia memerlukan dan menanti ruang dan peluang yang sesuai.

Demikian juga situasinya pada manusia. Kita sebenarnya sentiasa menanti ruang dan peluang untuk direbut dan diisi. Bagi yang jahil, ruang kejahilannya perlu diisi dengan ilmu yang berguna. Bagi yang pintar pula, mereka mencari ruang dan peluang membantu dan menolong yang jahil.

Ruang yang kosong pada rezki si miskin, akan diisi oleh si kaya. Peluang menderma dan berzakat tidak akan dilepaskan oleh si kaya yang budiman. Ruang kerja yang kosong juga perlu diisi dalam sesebuah institusi bagi melancarkan perjalanannya. Mereka-mereka yang masih menganggur pasti tidak melepaskan peluang ini.

Akhirnya, mungkin boleh disimpulkan bahawa segala apa di dunia ini, penuh dengan ruang dan peluang. Namun begitu, tidak semua ruang dan peluang ini dipenuhi dengan kebaikan atau pahala.

Ruang yang saya kira agak cuai yang berlaku pada diri saya, telah memberi peluang kepada pencuri, mencuri motor saya. Inilah sejarah pahit yang telah tercatat dalam memori hidup saya pada tanggal 11 Mei 2007, hari jumaat yang lalu. Hendak menangis pun tidak berguna hatta mengalirkan air mata darah sekalipun, motor yang ditunggang untuk berkerja itu tidak akan pulang semula.

Apakan daya, perkara sudah berlaku. Kita telah berusaha menjaga dan menguncinya dengan rapi, ia masih mampu dilarikan pencuri walaupun ia berada dalam pagar. Moga Allah kembalikan semula kepada saya dengan selamat. Mohon doa sidang pembaca juga.

Wallahu a'lam

1 ulasan:

ilhamharapan berkata...

iiiiiiiiiiiiiii