Khamis, Mei 03, 2007

Marah

Bismillah

Dua minggu yang lalu, saya diberi kesempatan mengikuti satu sesi yang boleh saya kategorikan sebagai sesi kaunseling kesihatan. Bertemu empat mata dengan doktor di salah sebuah klinik rawatan alternatif yang dipanggil Colour Vibrating Theraphy (CVT).

Penerangan yang beliau berikan, amat menarik perhatian. Pertemuan tersebut memberikan saya seribu satu ilmu baru. Perkara yang membuat saya sangat tertarik adalah kaitan sains perubatan dengan Islam yang begitu rapat. Antaranya sifat marah.

Marah adalah satu daripada sifat mazmumah (tercela) yang dibenci Allah dan Rasul. Marah akan menimbulkan sifat keji lain, seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Ja’far bin Muhammad berkata: “Marah itu kunci segala kesalahan (kekejian).”

Marah adalah salah satu sifat semula jadi manusia. Biasanya ia berpunca daripada tekanan perasaan, akibat dizalimi, dianiaya dan diperkecilkan. Marah adalah senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kebaikan dan kebinasaan. Jelasnya sifat marah boleh menjadi penyakit yang merosakkan keamanan dan keharmonian hidup.

Dari sudut sains, sifat suka marah dan panas baran adalah berpunca dari tenaga yang tidak seimbang dalam jantung. Ia bermakna, tenaga yang berada dalam jantung tidak bergerak lancar.

Sifat marah juga mampu mengakibatkan serangan jantung. Beliau memberitahu, bahawa ubat yang doktor berikan hanyalah bahan bantu dari luar. Ia sekadar membantu dan bukan pemulih. Ubat yang sebenarnya berada dalam diri kita dengan jiwa yang hening, tenang dan relaks. Ia akan mengurangkan risiko sakit jantung dan pengidapnya mungkin mampu pulih.

Justeru, amat tepat saranan Rasulullah kepada umatnya jangan marah yang secara tidak langsung mampu menjaga kesihatan kita. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah: “Berpesan kepadaku!. Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun Baginda masih tetap berkata: Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari).
Wallahu a'lam

Tiada ulasan: