Jumaat, Mei 18, 2007

"Sebab sembahyangnya senang."

Bismillah

Selalu juga hati ini teringin untuk qiamullail. Entah kenapa biasanya hanya qiamullail ke bilik air sahaja. Itupun kerana terpaksa rasa hendak terkucil. Kemudian melabuhkan semula badan ke pembaringan. Bila bangun pagi, tiada rasa apa-apa. Sedih, duka, tidak langsung terdetik di dalam hati.

Memang jiwa sangat lemah iman. Hati penuh kotoran. Tersangat jauh, entah berapa jaraknya. Yang pastinya lebih jauh dari planet pluto jika hendak dibandingkan dengan salafus soleh, apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan baginda Nabi s.a.w.

Baginda Rasul beribadah sehingga bengkak tumitnya. Bagaimana ketika seluruh manusia kesejukan, kepenatan dan keletihan semasa menghadapi perang Ahzab, baginda Nabi s.a.w menyelubungi seluruh anggota tubuhnya dan berdiri di tengah malam menghadap Yang Maha Esa.

Kita juga sering mendengar bagaimana saidina Umar diganggu syaitan sehingga beliau tidak terjaga untuk menunaikan ibadah di malam hari. Bila terjaga, saidina Umar menangis sehingga beliau nekad tidak mahu matanya dilelapkan lagi. Begitu hebat dan tebal imannya.

Saidatina Khadijah juga antara nama yang tidak boleh dilupa. Pengorbanannya begitu tinggi sehingga seluruh hartanya dihabiskan bagi mendepani perjuangan Islam.

Begitu juga dengan saidina Abu Bakar dan lain-lainnya. Pernah suatu masa ketika hendak perang, salah seorang sahabat memberitahu kepada Rasulullah bahawa dirinya ingin memberikan sebahagian daripada hartanya untuk tujuan peperangan. Hasratnya ingin menandingai saidina Abu Bakar yang seringkali menderma dengan jumlah yang besar. Namun, cita-citanya masih tidak kesampaian apabila Abu Bakar memberikan seluruh hartanya kepada perjuangan Islam.

Sifat baik dan kisah-kisah tauladan umpama ini, sudah tidak ada lagi pada diri dan jiwa umat Islam pada hari ini. Aswad, Milah masih kekal di dalam AF5, ini yang melekat kuat di dalam hati umat Malaysia. Ramai juga yang menangis bila Shawal terkeluar dari AF5.

Pernah suatu ketika saya bersarapan pagi dengan beberapa orang kawan. Sedang kami bersarapan, seorang nyonya membakar colok dan bersembahyang di hadapan kedainya. Kawan saya menegur.

“Tengok tu, orang cina, pagi-pagi dah sembahyang.”

Belum sempat kami menyapa, dia menyambung kata-katanya.

“Kenapa dia orang sembahyang? Sebab sembahyangnya senang. Tak macam kita. Nak kena ambil air sembahyang. Pakaian pun nak kena bersih.”
Tergamam saya mendengar kata-kata umpama ini. Terkelu lidah tidak mampu berkata apa-apa. Memang iman dan hati saya cukup lemah. Hingga ke saat ini, saya begitu terkilan kerana tidak mampu berbuat apa-apa.

Saya juga berdepan dengan mereka-mereka yang tidak pernah menunaikan solat jumaat hatta solat fardu harian. Bingung, sedih dan rasa hati terlalu berdosa kerana tidak berbuat apa-apa.

Kadang-kadang saya bermonolog sendiri. Saya kata yang saya biasanya mengajak mereka pergi minum bersama. Tetapi, amat jarang saya mengajak mereka berdiri, rukuk dan sujud bersama. Aduhai, lemahnya jiwa.

Pernah juga ketika orang sibuk bersolat jumaat, ada kalangan mereka sibuk menontot VCD lucah di pejabat. Tidak pasti ia benar atau tidak. Tapi, ia pengakuan dari hati ke hati oleh si penonton.

Hari ini dipaparkan di Harian Metro seorang ibu menanam anaknya hidup-hidup dan dipaparkan juga sendiket penjualan bayi luar nikah yang mencecah harga bernilai RM 30000.

Semalam di Berita Harian, melaporkan yang peniaga roti canai dan capati akan menaikkan harga jualan sebanyak RM 0.10 mulai bulan hadapan. Ini berikutan kenaikan harga tepung sebanyak RM 0.15 sekilogram.

Pada buletin 130 yang disiarkan oleh TV3 melaporkan pihak PLUS akan menaikkan kadar tol mulai Februari 2008. Harga barang harian yang lain juga dijagkakan akan meningkat.

Bila sebut masalah ekonomi, saya teringat tentang kehilangan motor saya. Bayangkan di sebuah pekan kecil sekecil Simpang Renggam, mencatatkan kadar jenayah yang tinggi. Sehingga jam 11 pagi ketika saya membuat laporan, saya diberitahu bahawa ini adalah kes kehilangan motor yang ke-5 pada hari ini. Terdapat juga kes kehilangan kereta dan lori.

Apakah kaitannya dengan ekonomi? Bila struktur sosioekonomi tidak stabil, kelam kabut dan penduduk miskin masih terhimpit dengan kemiskinan walaupun negara sedang pesat menuju kemajuan, maka, akan timbul masalah umpama kecurian. Hidup terhimpit. Sukar untuk mencari pekerjaan. Kalau ada pekerjaan pun, pendapatannya tidak mampu menampung kehidupan. Akhirnya mencari jalan senang dengan merompak dan mencuri.

Tekanan juga akan bertambah bila tanggungan semakin banyak. Di mana mahu mencari wang? Rumah tangga juga akan menatijahkan kehancuran.

Demikian serba-sedikit situasi dan keadaan yang saya sendiri sedang hadapi. Apa yang tertulis ini, benar-benar berlaku di depan mata saya. Ia sekadar omongan dan luahan apa yang terpendam. Moga kita sama-sama ambil pelajaran. Moga Allah lindungi kita semua.

Wallahu a'lam

2 ulasan:

Da Munique berkata...

orang Islam sembahyang cukup senang. kalau nak ler. kalau taknak memang susah.

muslim kat mana2 boleh sembahyang. takyah nak beli colok dan membakar colok. takyah nak beli limau. kalau takde air. boleh tayamum. bukannya lama sangat. lama lagik baca paper.

tapi tak sembahyang lagi senang... senang nak masuk neraka.

p/s: takziah ler ostat amli pasal kehilangan motor.. kasut ilang gak.. sabar lah yer.

Layla Haq berkata...

memang betul. Bila fikir secara baik, apa yang kita rasa susah sebenarnya senang. lebih senang dari apa yang kita jangkakan.

saya pernah terfikir, susahkan memakai tudung. Tapi bila mengkaji balik, lagi susah tidak bertudung. selain aspek dosa pahala, saya menilai pemakaian tudung adalah contoh kesederhanaan yang dituntut dalam islam. Juga setiap agama sebenarnya.