Sabtu, Jun 16, 2007

Pelaburan yang menguntungkan

Bismillah

Pernahkah anda menyertai pelaburan internet yang beberapa bulan lalu ripuh dibicarakan? Atau pernahkah menyertai pelaburan melalui Amanah Saham Bumiputera atau mana-mana pelaburan?

Melaui pelaburan internet, pelabur ditawarkan dengan keuntungan yang begitu lumayan. Apa yang saya ketahui, ia menjanjikan keuntungan hingga 2% sehari. Dengan modal USD 100, pelabur mampu memperoleh keuntungan USD 2 sehari. Jika dijumlahkan, pelabur akan menikmati keuntungan sehingga USD 60 (RM 204) dalam masa 30 hari sahaja.

Begitu lumayan. Tempat saya bekerja pun, hanya mampu memberikan profit 8% setahun. Itupun ramai yang mengatakan ia sudah tinggi. Tapi yang ini tidak terjangkau tingginya. Tidak perlu bekerja, memeras tulang empat kerat atau berpeluh-peluh mencangkul tanah. Hanya duduk berpeluk tubuh dan melihat keuntungan diterima melalui akaun dalam internet serta mencari orang bawah bagi mendapat komisyen lebih.

RM 204 sebulan bagi modal RM 340, bagi saya pelaburan yang terlalu menguntungkan. Tambahan pula, pelabur hanya perlu menunggu dan tidak perlu lakukan apa-apa kerja. Anda boleh fikir dan bayangkan jika modal ditambah sehingga RM 1000 misalnya. Pelabur akan menikmati keuntungan RM 20 sehari. Jika RM 10000, pelabur akan menikmati keuntungan RM 200 sehari. Sangat-sangat menguntungkan.

Kerana itu, ada kalangan orang melayu yang sanggup meminjam wang bagi tujuan pelaburan tersebut. Ramai juga yang berhenti kerja setelah menikmati keuntungan lumayan setiap hari. Apa yang perlu difikirkan dan bekerja bertungkus-lumus lagi bila sudah memperoleh RM 200 sehari. Tauke balak pun tidak memperoleh keuntungan sedemikian.

Bagi mereka yang telah lama dibelenggu masalah kewangan, peluang umpama ini adalah suatu pakej yang amat melegakan. Siapakah di kalangan kita yang tidak mahu hidup senang. Ditambah pula dengan keadaan sara hidup yang semakin meningkat. Tekanan kerja yang semakin bertambah.

Namun, tidak ada yang mudah di atas muka bumi ini sebenarnya . Hatta manusia yang paling dicintai Allah, Rasulullah s.a.w sendiri berusaha penat lelah bagi mendapatkan sumber kewangan. Padahal, apa sahaja yang baginda inginkan, pastinya Allah kabulkan.

Maka, tercetuslah suatu kontroversi berkaitan pelaburan internet yang berakhir dengan pengaharamannya oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Hasil kajian dan penelitian sarjana Islam mendapati pelaburan umpama ini adalah bercanggah dengan prinsip dan ajaran Islam.

Walaupun telah diharamkan, kita masih lagi mendengar desas-desus penglibatan orang melayu Islam terutamanya, dalam pelaburan ini. Masih ramai lagi yang tidak berganjak dari pelaburan ASN ini. (Amanah Saham Neraka)

Bila dikenang dan difikir, hanya bermodal RM 10000, pelabur mampu memperoleh keuntungan RM 200 sehari tanpa melakukan apa-apa. Hanya duduk mengira keuntungan. Siapakah manusia yang sudi dan rela hati melepaskan nikmat yang begitu indah ini?

Duit bukan segalanya, tapi segalanya memerlukan duit. Pepatah moden ini semakin masyhur dan sangat praktikal dalam dunia hari ini. Segalanya memerlukan wang. Oleh sebab itu, ramai yang sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang walaupun ia perkara yang ditegah agama. Ramai juga yang tidak lagi hirau tentang agama dalam usha mengejar wang dan dunia. Perasaan cintakan dunia juga semakin menebal dan berkerak hingga ke dasar hati.

Hasilnya; bila agama sudah tidak diendah lagi, maka tidak hairanlah kecurian, pelacuran, jenayah, masalah sosial, pecah rumah, pecah amanah, rasuah, rogol, bunuh, dadah dan pelbagai lagi isu tidak pernah kunjung padam.

Sabda Nabi s.a.w

حب الدنيا رأس كل خطيئة
كنز العمال ج3/ص79

Cintakan dunia adalah punca segala kejahatan.

Masyarakat tidak memandang walau sebelah mata suatu pelaburan yang berkali ganda keuntungannya jika dibandingkan dengan pelaburan internet dan sebagainya.

Firman Allah Ta'ala:

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (al-baqarah: 261)

Dengan hanya bermodal RM 1, pelabur akan memperoleh keuntungan sehingga RM 4700. Tidak ada kata lagi yang mampu saya ucapkan dengan perolehan tersebut. Tersangat, terlalu dan segala "ter..." hebatnya keuntungan yang diperoleh.

Hakikatnya benda yang tidak mampu dilihat dan dirasa, tidak ramai yang berminat menyertainya. Mesti ada bukti dan meterialnya. Perlu nampak benda dan kontraknya. Oleh itu, tidak ramai yang tertarik dengan pelaburan ini. Masing-masing lalai dan leka dengan pelaburan dunia serta keuntungannya yang sementara.

حدثنا مُوسَى بن عبد الرحمن الْكِنْدِيُّ حدثنا زَيْدُ بن حُبَابٍ أخبرني الْمَسْعُودِيُّ حدثنا عَمْرُو بن مُرَّةَ عن إبراهيم عن عَلْقَمَةَ عن عبد اللَّهِ قال نَامَ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم على حَصِيرٍ فَقَامَ وقد أَثَّرَ في جَنْبِهِ فَقُلْنَا يا رَسُولَ اللَّهِ لو اتَّخَذْنَا لك وِطَاءً فقال ما لي وما لِلدُّنْيَا ما أنا في الدُّنْيَا إلا كَرَاكِبٍ أستظل تَحْتَ شَجَرَةٍ ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا
قال وفي الْبَاب عن عُمَرَ وبن عَبَّاسٍ قال أبو عِيسَى هذا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ
سنن الترمذي ج4/ص588

Daripada Abdullah, katanya: Telah tidur Rasulullah s.a.w di atas tikar dan terdapat kesan pada belakangnya. Maka kami berkata: "Wahai Rasulullah! Kalau kami ambilkan hamparan untuk kamu?" Sabda Nabi s.a.w: "Tidak perlu dan dunia buka untukku. Tidaklah aku di dunia ini melainkan umpama seorang pengembara yang berlindung di bawah pokok kemudian pergi meninggalkannya."

Dunia yang didiami ini adalah seketika cuma. Sekadar tempat berteduh yang hanya sementara. Allah telah hidang dan janjikan suatu kehidupan kekal di sana.

Firman Allah Ta'ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَاب ٍأَلِيم

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (ash-shof: 10)

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (ash-shof: 11)

Setelah Allah bentang dan sediakan suatu pakej pelaburan dan perniagaan yang amat mahal nilai keuntungannya, maka, apa tunggu lagi. Moga kita hidup bahgia nanti, di alam yang tidak bertepi, akhirat yang kekal abadi dengan keuntungan yang tidak terkira dek jari, yang tidak terhitung oleh kalkulator dunia.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: