Jumaat, September 21, 2007

Sekiranya kita suka dan rela

Bismillah

Tiada kata yang mampu diluah lagi. Atau, apakah makian paling keji yang harus dihembur?

Yang pergi, sudah selamat disemadi. Yang tinggal, masih belum lerai penderitaan, jua tangisan. Sungguh memilukan. Pemergian yang sangat merobek hati-hati dan jiwa-jiwa seorang manusia. Sangat pasti, kanak-kanak sekecil adik Nurin Jazlin, mulus daripada dosa, walau sezarah pun.

Pada ketika umat Islam berada dalam bulan yang tersangat mulia dan bakal menyambut Aidilfitri yang bahagia, hati kita disiat-siat tanpa memikir akan deritanya. Rakyat Malaysia digempar lagi dengan pemergian adik Nurin Jazlin yang didera, dirodok kemaluannya dan mayatnya disumbat di dalam beg. Semua insan berdukacita dan tidak kurang juga yang mencerca.

Namun, apakah cukup dengan air mata atau cacian yang paling hina?

Teringat saya akan peristiwa sebelum Tanah Melayu merdeka. Kisah seorang wanita keluar dari agama (murtad). Gegar bumi Malaya, bila seluruh rakyatnya bangkit menentang apa yang menimpa. Demikian hingga ke beberapa ketika, rakyat Islam Malaysia masih memandang penting perkara murtad. Namun, kini suasana telah bertukar. Perkara murtad seolah-olah tiada apa-apa kerna sudah terlalu lazim dan biasa hatta seorang mufti berbicara untuk apa kita halang orang yang murtad?

Apa yang saya ingat, HIV mula masuk ke Malaysia pada awal 80-an. Pada waktu itu, semua risau dan gempar dengan virus ini. Hari-hari terpapar di dada akhbar, television dan lain-lain media massa. Namun hari ini, suasana telah bertukar. Virus ini sudah jarang diperkata kerna ia sudah terlalu biasa.

Begitu halnya perihal dadah, kes rogol dan macam-macam lagi jenayah yang menimpa. Di awal kewujudannya, ripuh orang berkata. Bila sudah lazim dan terbiasa, ia akan lenyap. Walhal semua itu mengundang bala.

Pada saat ini, kisah adik Nurin Jazlin begitu mencuri perhatian semua warga. Masing-masing meluahkan rasa. Namun, tidak mustahil kisah umpama ini suatu masa nanti akan lenyap lantaran ia sudah biasa. Walhal, ia terlalu bahaya. Kalau kita tidak sama mengubah dan membanteras dari akar umbi, pasti ia akan terus berluasa.

Apakah kita redha dengan apa yang menimpa atau cukupkah dengan hanya meluah rasa? Pasti tidak cukup. Oleh itu, apakah vaksin yang paling ampuh? Sudah pasti dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Pada pandangan saya, apa yang menimpa adik Nurin, secara langsung atau tidak, kita turut terlibat sama. Penderitaan seksual yang dialami oleh anak kecil ini adalah kesan masalah tekanan seksual yang dideritai si perlaku.

Saksikanlah apa yang ada di sekitar kita. Semua sudut dan ketika, semua tempat dan masa, sukar untuk kita larikan diri dari memandang perkara yang merangsang nafsu. Pada television, surat khabar, majalah, masyarakat dan pergaulan serta apa jua, banyak yang terdedah dan terbuka. Apakah manusia tidak ada nafsu melihat semua itu?

Telah jelas Allah berfirman di dalam kitab-Nya yang bermaksud:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).
(Ali-Imran:14)

Kerana itulah Allah perintahkan agar wanita-wanita menutup aurat mereka. Untuk ketenteraman dunia.

Sabda Nabi s.a.w:

المرأة عورة فإذا خرجت استشرفها الشيطان وأقرب ما تكون من ربها إذا هي في قعر بيتها
Ertinya : "Wanita itu adalah aurat (seluruh tubuhnya kecuali tangan dan wajah menurut jumhur ulama), dan apabila ia keluar dari rumah, maka Syaitan akan menghiaskannya (sehingga mampu menarik padnangan lelaki), dan paling hampir wanita dengan tuhannya adalah apabila ia berada di rumah" (Riwayat at-tirmidzi, no 1173, 3/476 ; Ibn Hibban, 12/413 ; Imam Tirmizi berkata : Hasan Gharib ; Syuaib Arnout : Sanadnya sohih)

Lelaki mana yang tidak terliur melihat dada yang terbelah, betis putih bunting padi. Bayangkan kalau ini menjadi tatapan harian, jiwa manakah yang mampu bersabar. Mahu berkahwin, ekonomi kurang menggalakkan. Akhirnya kanak-kanak seperti adik Nurin Jazlin menjadi mangsa. Dia masih lemah, mudah diperdaya dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Oleh itu, sekiranya kita suka dan rela melihat babak dalam kisah anak malang ini berterusan, teruskanlah dengan pakaian putih ketat. Kain belah dan skirt singkat. Dedahlah segala apa yang ada pada kita dengan mencampak semua suruhan dan larangan Allah. Tidak takutkah kita pada azab Allah di akhirat kelak?

Moga Allah pelihara diri kita, keluarga kita dan masyarakat Islam seluruhnya. Moga Allah golongkan kita di kalangan mukimin yang sentiasa memlihara agama-Nya. Ya Allah, ampunilah dosa kami semua. Al-Fatihah buat adik Nurin Jazlin Jazimin.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: