Selasa, September 04, 2007

Walau tidak sedarah

Bismillah

Saya bangga melihat masyarakat Cina di Malaysia (yang di luar, saya tidak pasti bagaimana).

Pada perkiraan saya, sudah 4 kali disiarkan dalam Buletin Utama perihal DUN Kuala Linggi di Melaka oleh wartawan India yang bagi saya berjiwa Melayu. Karam Sigh Walia sudah berpuluh peribahasa dikeluarkannya mengharap sebuah penyelesaian. Namun, masih tiada jawapan.

Seingat saya, populasi babi berkali ganda tingginya dengan manusia di Kuala Linggi. 150 ribu ekor babi berada di sana berbanding hanya 20 ribu orang penduduk. Lebih memilukan, semua babi tersebut tidak punyai dokumen sah berbanding 20 ribu penduduk yang punyai sijil kelahiran dan Mykad yang sah. Semua ternakan adalah tidak sah di sisi undang-undang. Apa yang lebih menarik ia adalah kawasan ternakan yang terbesar di Asia Tenggara.

Sungguhpun ia haram, tanpa lesen dan tidak sah di sisi undang-undang, hingga kini seekor babi pun tidak berjaya dihapuskan. Timbalan Menteri Asas Tani telah mengulas isu terbabit dan Menteri Besar Melaka juga turut memberi kata tegas untuk mengurangkannya. Namun, hingga hari ini, pada siang tadi, operasi penghapusannya dibatalkan secara tiba-tiba.

Para penternak berhimpun dilaluan masuk ke kawasan ternakan. Jentolak, polis dan pasukan keselamatan dikerah ke sana. Namun, tiada siapa yang mampu menghalang ketumbukan penyatuan jiwa-jiwa penternak. Mereka bersatu menghalang operasi penghapusan rezeki mereka hingga Timbalan Presiden MCA terpaksa turun padang. Ada kalangan mereka yang menjadikan anak mereka sebagai benteng. Mereka bersatu hati dan berpadu tenaga menyelamatkan rezki mereka.

Beberapa bulan yang lalu, setelah apa yang berlaku di negeri Johor, peningkatan kadar jenayah begitu merungsingkan, sekumpulan rakyat berbangsa Cina berhimpun di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar Johor, mahu penyelesaian pantas. Selang beberapa waktu, Ketua Polis Negara mengumumkan penghantaran pasukan khas ke negeri Johor termasuk Pasukan Gerakan Am bagi menangani masalah jenayah yang semakin meningkat.

Masyarakat Cina berhimpun dan bersatu hati menuntut pembelaan serta penyelesaian pantas dari pihak berkuasa. Keselamatan, juga keamanan suatu yang amat penting yang perlu dipelihara.

Saya juga sering melihat apa yang berlaku di sekitar saya tentang kesatuan dan persaudaraan masyarakat Cina. Paling menyerlah dalam bidang perniagaan. Biasanya mereka saling bantu-membantu. Tidak ada hasad dalam hati mereka. Mereka bersaing dengan sihat dan saling membantu bila ada masalah. Kerana itu saya bangga melihat masyarakat Cina di Malaysia.

Tidak seperti masyarakat Melayu kita (bukanlah tujuan saya untuk memburukkan bangsa sendiri). Saling berbalah sesama kita. Kalau berniaga, suka santau dan hantar yang entah apa-apa. Kita tidak ada ketumbukan suara dan kesatuan jiwa. Walhal, agama kita mengajar agar penganutnya bersatu hati dan sama-sama gembleng tenaga. Kita semua bersaudara. Walau tidak sedarah, tapi kita semua satu akidah.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al-Hujurat:10)
Wallahu a'lam

Tiada ulasan: