Khamis, November 29, 2007

Apa faedahnya mengecat dinding rumah, andai tiangnya sudah roboh.

Bismillah

Mengunjungi suatu karnival di gedung besar umpama Plaza Angsana, adalah suatu yang menghiburkan. Tambah menyeronokkan, andai kita turut serta dalam acara dianjur. Tambah-tambah gembira lagi andai kita menjadi penganjur atau anggota penggeraknya. Terlalu gembira bila segalanya berjaya dan mendapat banyak pujian.

Itulah yang kami (staff KPMNJ dan ajk karnival mewarna bersama keluarga anjuran KPMNJ) rasai bersama. Walau penat dan letai, penganjuran yang berjaya dan pujian yang baik, telah memadam segala yang sengsara.

Seronok melihat orang seronok. Gembira melihat orang gembira. Melihat kanak-kanak mewarna bersama penjaga. Ia secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pendaftaran masih dibuka pada hari pertandingan (18 November 2007) dari jam sebelas pagi. Sambil itu, pelbagai acara telah dijalankan sementara menanti saat bermula pertandingan. Antaranya pertandingan rebut kerusi.

Para peserta dan penjaga masing-masing, kebanyakannya telah mula bersesak-sesak di ruang lega plaza Angsana seawal jam 12 tengah hari. Menyaksikan beberapa persembahan sebelum turun ke medan pertandingan. Pada saat dan ketika inilah, mata saya mula memerhati.

Tepat jam 2.40 petang, gong dipalu menandakan pertandingan sudah bermula. Satu jam pertama, penjaga hanya dibenarkan menunjuk ajar sahaja. Setengah jam kemudian, penjaga bertungkus-lumus mewarna lukisan dengan citrawarna yang paling indah. Saya terus memerhati hingga keputusan diumumkan sekitar jam 5 petang.

Pemerhatian yang menyedihkan bila rata-rata dikalangan peserta, tidak menunaikan solat zuhur. Santak menunggu dari jam 12.30 tengah hari hingga jam 5 petang. Luluh jiwa dan sangat berdosa rasa, menyaksikan realiti yang berlaku di depan mata. Bukan mahu mengeji atau memburukkan sesiapa, cuma ingin kongsi bersama keadaan masyarakat yang semakin mengabaikan solat.

Sabda Nabi s.a.w :

Maksudnya: “Sembahyang itu tiang agama. Barangsiapa mendirikannya, maka dia telah mendirikan agama. Barangsiapa meninggalkannya, sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.”

Firman Allah dalam surah Toha ayat 132

Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun dan bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Pengabaian solat dikalangan masyarakat kita, semakin parah. Kebanyakannya tidak ambil endah tentang solat. Tidak mendirikan solat, semacam tidak berdosa. Walhal, Rasulullah s.a.w memberi perumpamaan yang amat jelas bahawa solat itu tiang agama. Siapa yang meninggalkannya, sesungguhnya robohlah agamanya.

Pada zaman Nabi s.a.w dan para sahabat, mereka yang tidak menunaikan solat secara berjemaah, akan diberi ucapan takziah. Ada yang sampai beberapa hari pengucapan dibuat. Sahabat sangat mengambil berat soal solat berjemaah apatah lagi perihal solat itu sendiri.

Oleh itu, tidak ada sebabnya mengapa kita (terutama agamawan) perlu bertelagah lantaran soal remeh-temeh atau persoalan furu’ (cabang) semata-mata. Ia memang perlu dibincang. Tetapi tidak perlu diperbesar-besarkan mengatasi masalah yang lebih pokok. Tidak perlu melibatkan masyarakat umum dalam persoalan umpama ini sedangkan yang pokok masih banyak tempangnya.

Apa faedahnya kita mengecat dinding rumah atau berbalah seisi keluarga tentang pilihan warna cat yang sesuai, sedangkan tiangnya sudah banyak yang roboh.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: