Khamis, November 29, 2007

Apa faedahnya mengecat dinding rumah, andai tiangnya sudah roboh.

Bismillah

Mengunjungi suatu karnival di gedung besar umpama Plaza Angsana, adalah suatu yang menghiburkan. Tambah menyeronokkan, andai kita turut serta dalam acara dianjur. Tambah-tambah gembira lagi andai kita menjadi penganjur atau anggota penggeraknya. Terlalu gembira bila segalanya berjaya dan mendapat banyak pujian.

Itulah yang kami (staff KPMNJ dan ajk karnival mewarna bersama keluarga anjuran KPMNJ) rasai bersama. Walau penat dan letai, penganjuran yang berjaya dan pujian yang baik, telah memadam segala yang sengsara.

Seronok melihat orang seronok. Gembira melihat orang gembira. Melihat kanak-kanak mewarna bersama penjaga. Ia secara tidak langsung mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pendaftaran masih dibuka pada hari pertandingan (18 November 2007) dari jam sebelas pagi. Sambil itu, pelbagai acara telah dijalankan sementara menanti saat bermula pertandingan. Antaranya pertandingan rebut kerusi.

Para peserta dan penjaga masing-masing, kebanyakannya telah mula bersesak-sesak di ruang lega plaza Angsana seawal jam 12 tengah hari. Menyaksikan beberapa persembahan sebelum turun ke medan pertandingan. Pada saat dan ketika inilah, mata saya mula memerhati.

Tepat jam 2.40 petang, gong dipalu menandakan pertandingan sudah bermula. Satu jam pertama, penjaga hanya dibenarkan menunjuk ajar sahaja. Setengah jam kemudian, penjaga bertungkus-lumus mewarna lukisan dengan citrawarna yang paling indah. Saya terus memerhati hingga keputusan diumumkan sekitar jam 5 petang.

Pemerhatian yang menyedihkan bila rata-rata dikalangan peserta, tidak menunaikan solat zuhur. Santak menunggu dari jam 12.30 tengah hari hingga jam 5 petang. Luluh jiwa dan sangat berdosa rasa, menyaksikan realiti yang berlaku di depan mata. Bukan mahu mengeji atau memburukkan sesiapa, cuma ingin kongsi bersama keadaan masyarakat yang semakin mengabaikan solat.

Sabda Nabi s.a.w :

Maksudnya: “Sembahyang itu tiang agama. Barangsiapa mendirikannya, maka dia telah mendirikan agama. Barangsiapa meninggalkannya, sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.”

Firman Allah dalam surah Toha ayat 132

Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun dan bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

Pengabaian solat dikalangan masyarakat kita, semakin parah. Kebanyakannya tidak ambil endah tentang solat. Tidak mendirikan solat, semacam tidak berdosa. Walhal, Rasulullah s.a.w memberi perumpamaan yang amat jelas bahawa solat itu tiang agama. Siapa yang meninggalkannya, sesungguhnya robohlah agamanya.

Pada zaman Nabi s.a.w dan para sahabat, mereka yang tidak menunaikan solat secara berjemaah, akan diberi ucapan takziah. Ada yang sampai beberapa hari pengucapan dibuat. Sahabat sangat mengambil berat soal solat berjemaah apatah lagi perihal solat itu sendiri.

Oleh itu, tidak ada sebabnya mengapa kita (terutama agamawan) perlu bertelagah lantaran soal remeh-temeh atau persoalan furu’ (cabang) semata-mata. Ia memang perlu dibincang. Tetapi tidak perlu diperbesar-besarkan mengatasi masalah yang lebih pokok. Tidak perlu melibatkan masyarakat umum dalam persoalan umpama ini sedangkan yang pokok masih banyak tempangnya.

Apa faedahnya kita mengecat dinding rumah atau berbalah seisi keluarga tentang pilihan warna cat yang sesuai, sedangkan tiangnya sudah banyak yang roboh.

Wallahu a'lam

Jumaat, November 16, 2007

"Patut la orang Cina kaya."

Bismillah

“Patut la orang Cina kaya. Kita selalu kena tipu dengan dia.”

Kebanyakan barang kemas di pasaran, piawaian dan jenis karatnya, tidak sama dengan apa yang tertulis. Rantai emas contohnya, pada gancunya tertulis 916 atau 22k. Apabila diteliti dan dikenalpasti semula menggunakan dencimeter atau asid, mungkin hanya gancunya sahaja yang menepati piawaian emas 916. Bahagian lainnya mungkin jenis 875, 835 atau sebagainya. Walhal, rantai emas tersebut keseluruhannya dijual pada harga emas 916.

Mungkin kerana itu, terhasil dialog sebagaimana di atas kerana kebanyakan peniaga emas adalah warga Cina. Mudah kata, ramai Cina yang kaya hasil taktik perniagaan yang licik ini. Tambah kukuh lagi bila ramai orang mengadu terutamanya Melayu yang ditipu bila barang kemas mereka dipajak di kedai Cina. Antaranya, tanpa disedari, kadang-kadang diambil barang segram dua dari rantai misalnya.

Demikian kesimpulan yang mudah. Mereka kaya hasil taktik perniagaan yang licik. Memang ada benarnya jika melihat sekitar realiti yang berlaku. Bukan itu sahaja, kadang-kadang perjanjian yang ditulis dalam surat gadai juga, berat sebelah ditambah kadar bunga yang tinggi.

Itu pajak gadai, belum lagi perniagaan yang lain. Bila diteropong dan diperhati, ramai juga yang mengadu ditipu. Ini suatu kenyataan. Lihatlah di luar sana. Ramai yang menjadi saksi.

Namun, benarkah ia semudah itu? Pasti ramai yang sudah kaya andai ia semudah itu. Kerana ramai kalangan masyarakat kita yang licik dan bijak menipu. Bukan hanya Cina, Melayu juga tidak kurang hebat menipunya.

Rakan sekerja saya, majikan lamanya warga keturunan Cina. Sambil makan tengah hari, ada juga dia selitkan kisah pengalamannya bekerja di bawah majikan Cina dan sesekali ada juga dia mengkritik sikap orang Melayu.

Orang cina, hampir semuanya sangat tekun berusaha. Konsisten dalam bekerja. Mereka juga sangat berdisiplin. Sabar dan ada matlamat yang tinggi. Berani dan sanggup menanggung risiko. Mereka sangat memahami bahawa tidak ada jalan pintas untuk kaya dan berjaya. Bukan semata-mata kerana mereka bijak menipu. Licik dalam perniagaan. Mereka ada aturan yang dipegang kuat. Punya strategi yang ampuh. Budaya kerja yang baik.

Ertinya, ingin berjaya atau kaya, tiada satu pun jalan pintas. Bukan dengan menipu atau menyertai skim cepat kaya. Mahu atau tidak, seribu satu mehnah yang perlu ditempuh.

Allah berfirman di dalam surah al-Ankabut, ayat 2 dan 3:

Maksudnya : Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
[3] Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Allah berfirman lagi dalam surah al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Wallahu a'lam

Isnin, November 05, 2007

Apa yang sangat berharga

Bismillah

Lazimnya manusia begitu menjaga sesuatu yang dirasakannya sangat berharga. Orang yang baru memiliki kereta, dia akan menjaganya dengan begitu rapi. Ia akan membasuh, mendandan dan mengilatkannya setiap hari. Memandu dengan begitu cermat dan berhati-hati agar sesuatu yang berharga miliknya, terjaga dengan baik.

Wanita akan menghabiskan wang ratusan ringgit bagi memastikan wajahnya sentiasa kelihatan awet muda. Pelbagai kosmetik dan mekap buatan dalam dan luar Negara, dibeli untuk memastikan kejelitaan wajahnya kekal sepanjang hayat. Kerana baginya, wajah adalah barang yang berharga. Walhal, bila usia mencecah tua, kedut pasti akan kelihatan.

Mereka yang memiliki banglo mewah, akan sentiasa memeliahara kediamannya. Mencantikkan dan menghiasi rumah dengan landskap yang indah dan menarik. Bagi memastikan keselamatan dijaga, kawalan rapi dibuat dengan memasang alat penggera keselamatan, kemera sisi litar tertutup dan meletakkan jaga untuk mengawasi keadaan rumah. Ia bagi memastikan barang berharga miliknya, terjaga sempurna.

Bagi manusia yang merasakan hatinya sangat berharga, mereja akan menjaga dan memlihara hati agar tidak dinodai, tidak kotor dan sentiasa murni. Mereka yang merasakan iman adalah harta yang sangat berharga, sudah tentu akan bersusah payah menjaga iman tersebut.

Bilal ibnu Rabah, sanggup dijemur di tengah padang pasir yang panas menyala dan badannya ditimpakan batu yang berat. Namun, hatinya tidak berganjak. Imannya masih dijaga utuh. Lidahnya tidak lekang daripada menyebut Ahad, ahad, ahad. Sumayyah juga sanggup mati dan disiksa daripada menggadaikan imannya.

Perhatikanlah diri kita. Apakah yang sering kita jaga dan pelihara? Apakah yang sangat berharga dan bernilai bagi kita?

p/s Tulisan ini adalah dokumentasi semula beberapa isi khutbah jumaat pada 2 November 2007 di Masjid India, Jalan Dhobi, Johor Bahru.

Wallahu a'lam