Khamis, Mei 26, 2011

Tiada dua hati

Bismillah

{3} وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا

Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.

{4} مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ

(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya dan Dia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul.

(Surah al-Ahzab ayat 3-4)

Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa pada suatu hari. Ketika Nabi s.a.w. solat, terlintas di dalam hati baginda ucapan-ucapan orang munafik yang bersama-sama solat dengan baginda, bahawa mereka mempunyai dua hati. Satu hati bersama-sama orang kufur dan satu lagi bersama dengan orang mukmin. Maka, Allah menurunkan ayat ini sebagai penegasan bahawa Allah tidak menciptakan dua hati bagi manusia.

(HR Imam at-Tirmidzi, sanadnya hasan daripada Ibnu Abbas)

Menempuh dunia globalisasi yang rencam pada saat dan ketika ini, membikin hati kita ripuh dan kacau-bilau. Pelbagai keperluan yang mendesak, telah mengheret kita ke dalam satu dilema kehidupan yang sukar mencari keputusan dan penyelesaian. Ditambah dengan musuh yang sentiasa melekat rapat pada setiap inci darah yang mengalir, iaitu nafsu dan syaitan. Ia menambah kekusutan dalam membuat penilaian. Apa yang dilakukan, tidak terfokus dan mencapah ke pelbagai penjuru kehidupan.

Suatu masa dahulu, pernah kami dimarahi oleh guru kami Syeikh Abdul Azim Sya’aban ketika beliau melihat kehadiran kami dalam kelas talaqqi al-Quran yang tidak konsisten. Masing-masing memberi alasan. Ada yang menghadiri kelas yang lain, ada juga sibuk mengurus hal organisasi dan pelbagai. Hasilnya, keluar ayat 4 surah al-Ahzab dari mulut Syeikh. Allah tidak jadikan manusia dengan dua hati. Dalam maksud yang lain, manusia perlu fokus dalam melakukan suatu perkara.

Walhal, dalam dunia yang sedang kita tempuh ini, tidak boleh tidak, kita terpaksa melakukan banyak perkara dalam satu masa. Oleh itu, marilah kita meneliti sejarah. Melihat keagungan Nabi s.a.w. melakukan banyak perkara dalam satu masa. Baginda berjaya melakukannya kerana faktor keberkatan masa. Keberkatan yang demikian diperoleh melalui solat yang dijaga dan sujud sentiasa mengharap pada Yang Esa. Dengan itu, apa yang dilakukan, akan terfokus dan selalu mendapat pimpinan Allah. Moga Allah lestarikan taufiq dan hidayah-Nya buat kita. Amin...

Wallahu a'lam


Tiada ulasan: