Isnin, Julai 18, 2011

Bunyi-bunyian III

Bismillah

Selain persoalan akidah, iman kepada Allah dan perkara-perkara sam’iyat, elemen dan unsur bunyi-bunyian juga berkait rapat dengan motivasi dan semangat. Rasulullah s.a.w suatu ketika pernah tersenyum ketika baginda jaga dari lenanya.

عنْ أَنَس بْن مَالِك قَالَ : أَغْفَى رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِغْفَاءَة فَرَفَعَ رَأْسه مُتَبَسِّمًا إِمَّا قَالَ لَهُمْ وَإِمَّا قَالُوا لَهُ لِمَ ضَحِكْت فَقَالَ رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ" إِنَّهُ أُنْزِلَتْ عَلَيَّ آنِفًا سُورَة " فَقَرَأَ " بِسْمِ اللَّه الرَّحْمَن الرَّحِيم إِنَّا أَعْطَيْنَاك الْكَوْثَر " حَتَّى خَتَمَهَا

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik telah berkata: “Rasulullah s.a.w terjaga dari lenanya. Baginda mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Mereka bertanya: “Apakah yang membuatmu tersenyum wahai Rasulullah?” Bersabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya telah diturunkan kepadaku sebentar tadi suatu surah.” Maka baginda membaca bismillahirrahmanirrahim إِنَّا أَعْطَيْنَاك الْكَوْثَر sehingga tamat surah... (HR Imam Ahmad)

Wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w telah memberi keceriaan dan motivasi kepada baginda. Surah al-Kautsar ini diturunkan sebagai pengubat duka dan pemberi semangat kepada Rasulullah s.a.w setelah baginda diherdik dan dihina oleh kaumnya. Dalam riwayat lain, riwayat al-Bazzar daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w digelar sebagai orang yang berpura-pura sabar dan menganggap dirinya mulia. Dalam riwayat Thabrani daripada Abu Ayyub pula menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w telah disebut sebagai orang yang terputus keturunannya kerana kematian anak lelaki baginda. Namun, Rasulullah s.a.w mampu tersenyum dan bersemangat semula setelah mendengar wahyu yang diturunkan.

Seorang anak yang sering diherdik dan dihina, bakal menjadikannya seorang yang pasif dan lemah semangat. Manakala anak yang sering diberi dorongan dan galakan, dia bakal menjadi manusia yang optimistik dan berkeyakinan tinggi.

Bunyi-bunyian juga sangat memberi kesan dan pengaruh terhadap sistem tubuh manusia dan kesihatan. Bunyi-bunyian yang melebihi 70 dB akan memberi kesan terhadap sistem kadivoskular tubuh. Ia adalah sistem automatik urat saraf atau sistem pengaliran darah tubuh manusia. Bunyi yang berlebihan ini akan menyebabkan kesempitan pembuluh darah lalu meningkatkan tekanan darah dalam badan. Kelenjar dalam badan yang mengeluarkan hormon, akan mengekalkan pengeluaran hormon tersebut ke seluruh badan yang akan menyebabkan seseorang itu berasa letih dan pening kepala. Selain itu, individu terbabit akan bernafas secara tidak normal dan ini akan mempercepatkan kadar metabolisme dalam tubuh.

Kesempitan arteri darah juga boleh menyebabkan aliran darah menjadi tidak stabil dan ia akan menyumbang masalah ketidakseimbangan emosi. Individu yang terbabit akan mudah marah dan cepat melenting. Keadaan ini, akan menyebabkan darah berasid dan menjadi pekat. Ia akan memberi kesan terhadap otot, saraf dan tulang seseorang dan akan berlaku masalah sengal-sengal, sakit otot, kebas dan pelbagai lagi. Keadaan umpama ini, apabila berkekalan dan berlaku secara berulangan, kesannya akan membawa ke kuburan dan kematian.

Menurut kajian Institut Perubatan Komplimentari Islam Malaysia, bunyi-bunyian yang melepasi 20 dB, sangat mengganggu keseimbangan hipotalamus.

Hipotalamus merupakan bagian terpenting dari otak manusia. Hipotalamus meskipun kecil (besarnya hanya separuh gula-gula) dan beratnya hanya empat gram, ia sangat berperanan dalam mengatur hormon, hasrat seksual, emosi, makan, minum, suhu tubuh, keseimbangan kimia, tidur dan bangun, sekaligus mengatur kelenjar utama dari otak (kelenjar pituitari). Hipotalamus adalah bahagian otak yang memutuskan mana yang perlu mendapat perhatian dan mana yang tidak, misalnya bilakah kita lapar.

Bila hipotalamus mengalami gangguan dan ketidakseimbangan, secara mudahnya akan berlaku sejumlah kerencatan terhadap sistem dan perjalanan anggota tubuh badan. Kesannya boleh dilihat apabila seseorang telah mula hilang fokus dan tujuan. Dia telah mula sukar untuk mengawal dan memberi tumpuan dalam apa jua keadaan. Ini, bakal menimbulkan tekanan. Tekanan bukan sahaja menjejaskan fizikal kehidupan, ia turut memberi impak terhadap fungsi dan kehidupan yang tidak boleh dicerap dengan pandangan mata. Seperti perjalanan darah dan perubahan sikap.

Hipotalamus juga mempunyai hubungan dengan sistem imunisasi tubuh atau sistem kekebalan. Ketidakseimbangan hipotalamus, akan meruntuhkan sistem pertahanan tubuh. Ia akan membawa kepada kelesuan dan hilang semangat. Diri akan kurang bermotivasi dan menjadi lemah.

Oleh kerana bunyi-bunyian memberi impak besar terhadap kehidupan insan, terutama kehidupan seorang muslim yang beriman, musuh-musuh islam sentiasa menggunakan ruang dan peluang ini. Kebejatan industri bunyi-bunyian melalui pelbagai medium, amat memudharatkan. Bagaimana tidak. Bunyi suara bisikan, sudah membawa kekuatan 30 dB, apatah lagi bunyi-bunyiab alat muzik dan sebagainya yang bukan hanya menjejaskan kesihatan fizikal tubuh badan, tetapi ia sangat menjejaskan iman dan kepercayaan.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: