Rabu, Julai 20, 2011

Jangan sampai tindakan kita menambah buruk

Bismillah

Daripada Abdullah ibnu Mas'ud r.a.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang di hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”.Berkata seorang lelaki: ‘Sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya cantik dan kasutnya cantik. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan. Sombong ialah menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia”.

(HR Imam Muslim no. 91)

Teringat suatu masa dahulu, semasa kecil. Bergaduh, kemudian berbaik semula. Sedang damai bermain, bergaduh lagi. Kemudian berbaik semula. Pusingannya tidak pernah berhenti. Ia berjalan terus-menerus. Bila dewasa, ia masih juga berlaku. Tetapi suasanya berbeza dan cara menaggapinya juga tidak sama.

Peristiwa yang sering ibu kisahkan pada saya dan sering menjadi imbauan yang melucukan adalah peristiwa pergaduhan atau mungkin perdebatan antara saya dan seorang sepupu. Sedang kami bermain, tiba-tiba muncul seekor serangga. Lantas, masing-masing bersuara.

Saya menjerit. “Lipas!”

Sepupu saya turut menjerit. “Coro!”

Saya menjerit lagi. “Lipas!”

Sepupu saya pun menjerit lagi. “Coro!”

Demikian kami berulang-ulang mempertahankan nama serangga tersebut. Saya memanggilnya lipas. Manakala sepupu menggelarnya ‘coro’. Berterusan kami bertelagah, cuba mempertahan panggilan dan gelaran masing-masing. Terus bertengkar, terus bergaduh dan terus berdebat. Walhal, keduanya adalah tepat dan betul. Lipas adalah kalimah melayu, manakala ‘coro’ adalah bahasa jawa. Sama ada ‘coro’ atau lipas, keduanya adalah benar. Tetapi kerana sombong, kebenaran ditolak dan orang lain dipandang rendah.

Bila dewasa, peristiwa yang hampir sama, turut berlaku. Tetapi berbeza situasi dan keadaannya. Mungkin tidak bergaduh mulut atau berhujah terang-terangan. Mungkin hanya cakap belakang atau berkata penuh sopan tetapi dengan tajam. Mungkin juga berlaku dalam keluarga, masyarakat atau mungkin dalam organisasi. Suatu yang pasti, perselisihan, perbalahan, berbeza pandangan dan pelbagai lagi, ia merupakan suatu lumrah kehidupan. Kita harus mendepaninya dengan bijak berdasarkan iman dan bimbingan Tuhan. Jangan sampai tindakan kita menambah buruk sesuatu keadaan. Menambah rumit suatu masalah yang tidak menemukan noktah perdamaian dan penyelesaian. Apa yang ditambah adalah api permusuhan, dendam, geram dan mengaibkan sesama insan. Apa yang lebih merisaukan apabila kita merasakan pandangan kita sahaja yang paling betul dan benar. Pandangan manusia lain direndahkan dan kebenaran diketepikan. Akhirnya muncul sifat sombong dan menerima ancaman sebagaimana yang Nabi SAW sabdakan di atas. Moga Allah lindungi kita semua daripada sifat mazmumah.

Wallahu a’lam

Tiada ulasan: