Jumaat, Julai 29, 2011

Kalau hamba tahu


Bismillah

Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ الْعِبَادُ مَا فِي شَهْرِ رَمَضَانَ لَتَمَنَّى الْعِبَادُ أَنْ يَكُونَ شَهْرُ رَمَضَانَ سَنَةً

Maksudnya: “Andai seorang hamba mengetahui apa yang ada di dalam bulan Ramadan, nescaya mereka bercita-cita Ramadan sepanjang tahun”.

Rasulullah s.a.w. memberikan gambaran enak dan penuh nikmat bahawa Ramadan adalah bulan idaman yang dicita-citakan seorang hamba jika dia mengetahui keistimewaannya. Rasulullah memberi andaian demikian kerana ia anugerah Allah yang tiada bandingnya.

Fitrah dan lumrah manusia, tidak mahu melepaskan segala nikmat dan anugerah andai ia telah didakap. Kerana mendakap nikmat dan anugerah adalah saat paling bahagia dan gembira.

Andai nikmat dan anugerah itu, belum dikecapi, dia akan sentiasa menanam azam dan cita-cita mahu mendapatkannya kerana dia mengetahui akan bahagia dan gembiranya jiwa bila nikmat itu sudah didapat.

Ramadan adalah anugerah Allah yang sangat istimewa buat hamba-Nya. Pelbagai keistimewaan dan ganjaran dihidangkan buat orang yang beriman. Terdapat pelbagai kelebihan, hikmah dan rahsia yang ada di dalam bulan Ramadan. Kelebihan dan rahsianya bukan sahaja Allah simpan sebagai kredit bekalan bertemu-Nya nanti, tetapi ia sudah boleh dirasa semasa menghuni dunia.

Namun, kerana kejahilan dan kelemahan kita, Ramadan tidak didakap mahupun dicicipi dengan penuh jiwa rasa. Ia tidak berjaya memberi kesan optimum terhadap kehidupan. Ramadan sudah menjadi seperti adat semata dan bukan lagi ibadat.

Ramadan kini banyak dipenuhi bazar dan makanan yang enak-enak. Bukan salah mengunjungi bazar dan berbelanja sebagai persiapan menyambut hari kemenangan; Hari Raya Aidilfitri. Bahkan ia turut digalakkan syariat. Cuma, kita seharusnya berpada dan sepatutnya melayani dan mendakap Ramadan dengan penuh perhatian dan mesra.

رَمضان كَريم، وكُلُّ سَنَّة وأنتم طَيّبون

*Tulisan ini adalah fragmen mukaddimah buku Andai Mereka Tahu Istimewanya Ramadhan.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: