Isnin, Oktober 29, 2007

Apa yang perlu dihairankan?

Bismillah

Semalam, cuti hujung minggu, saya menonton drama di TV2 bertajuk “Selamat Hari Raya Hoshimiroku”. Sebuah drama yang tidak kurang menarik. Ia menceritakan bagaimana ibadah Ramadan dan hari raya Aidilfitri disambut ketika penduddukan Jepun di Tanah Melayu.

Walaupun plot dan perjalanan ceritanya agak perlahan dan kurang mempesona, drama ini sedikit sebanyak menggambarkan suasana ibadah Ramadan dan hari raya di bawah cengkaman Jepun yang cukup memeritkan. Pemergian jemaah ke masjid dan surau-surau bagi melaksanakan solat sunat tarawih, dipantau dan dikawal dengan begitu ketat. Setiap kali bersua muka dengan Tuan Besar, jemaah perlu menundukkan kepala tanda hormat.

Makanan, minuman dan keperluan asas lain, sukar diperolehi. Bersahur dan berbuka dengan ubi rebus bersama ikan kering itupun sekiranya ada. Penduduk bertungkus-lumus mencari sesuap ubi. Merayu dan memohon simpati pada Tuan Besar.

Aidilfitri disambut ala kadar. Tiada kemeriahan kanak-kanak bermain bunga api. Mahu mencari buluh lemang, juga sukar. Bukan tiada bekalan. Tetapi terhalang dengan syarat dan sekatan yang Jepun berikan. Mahu memasang pelita, bekalan minyak tanah pula tiada. Mahu mengadakan takbir di surau dan dari rumah ke rumah juga memerlukan keizinan dari Tuan Besar. Segala pergerakan dikawal ketat. Bertakbir hari raya bersama askar Jepun dengan senjata dan berpakaian seragam lengkap.

Demikian apa yang dipaparkan dalam drama tersebut yang mungkin hanya 10 peratus atau kurang dari itu berbanding dengan apa sebenarnya yang telah berlaku. Kerana, datuk, nenek dan ada kalangan saudara-mara saya yang pernah merasai keperitan duduk di bawah jajahan Jepun. Mereka menceritakan yang pemerkosaan gadis berluasa. Pelbagai sekatan dan syarat dibuat yang semuanya menekan orang Melayu. Mereka tidak dibenarkan menukar tanaman kepada tanaman getah. Walhal hasil getah pada ketika itu memberi pulangan lumayan. Pelbagai barang keperluan asas disekat. Penyiksaan yang amat sadis terhadap orang Melayu yang enggan menurut perintah Jepun. Rakyat tidak dibenarkan mendengar radio. Dan pelbagai lagi perihal yang menyayat hati.

Kita diperlakukan seperti hamba di tanah dan bumi milik kita sendiri. Kita disekat daripada mengurus dan mentadbir tanah air sendiri. Ilmu dan penyediaan modal insan, tidak dihiraukan penjajah. Kita dihalang daripada membina dan mengecapi sebuah tamadun yang unggul dan gah di mata dunia.

Alangkah manisnya jiwa, andai kisah dan drama umpama ini, sering dipertontonkan. Ia bakal mengalirkan beribu keinsafan yang akan menyerap ke dalam setiap rongga tubuh. Sejarah perlu diketahui. Ia harus diteliti dan dikaji. Sejarah bila sering dipaparkan dan diteladani, ia akan mengundang beribu kebaikan. Kita akan mengenal diri dan mengambil pengajaran daripadanya. Ia bakal membuka mata hati. Ia akan memberitahu betapa bertuahnya hidup yang kita nikmati hari ini. Insya-Allah masyarakat akan menjadi manusia yang paling bertakwa.

Namun sayang, hedonisme lebih merajai jiwa dan mentaliti kita pada hari ini. Cerita-cerita dan drama-drama berbentuk hiburan semata-mata, memenuhi tiap detik dan waktu kita. Maka, apa yang perlu dihairankan bila jati diri semakin hilang? Gejala sosial semakin menjadi-jadi dan jenayah semakin membimbangkan. Habis roboh institusi masyarakat. Sama-samalah kita buka minda, singkap tirai hati yang tertutup.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: