Isnin, Oktober 18, 2010

Adakah khusyuk itu fokus dan asyik atau syok?

Bismillah

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya dan beberapa rakan usai menghadiri satu seminar yang mengujakan. Ia telah diadakan pada 16 Oktober yang lalu di dewan Pusat Penyelidikan dan Inovasi Universiti Tun Husein Onn Malaysia, Parit Raja.

Seminar Terapi Solat. Sungguh mengasyikkan, terutama ketika ia hampir melabuhkan tirai. Sepanjang seminar ini berjalan, tiada satu pun kata ‘terapi’ yang keluar dari mulut penceramah. Membuatkan kami tertanya-tanya di mana yang dikatakan seminar terapi solat?

Sebagai mukaddimah, Pak Stiyo memulakan ceramahnya dengan firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat 45 dan 46. Beliau mensyarahkan ayat-ayat ini dengan jelas dan panjang lebar.

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

Ayat ini menceritakan seruan Allah agar meminta tolong dengan jalan sabar dan solat. Pak Stiyo bertanya “Kenapa Allah meminta kita meminta tolong dengan sabar dan solat? Kenapa Allah tidak suruh kita berusaha dengan gigih?”

Beliau menyambung lagi, “Apa yang boleh sabar dan solat lakukan dalam menyelesaikan masalah?” Kerana ramai orang yang mengadu masalahnya masih belum selesai meskipun sudah sabar dan solat.

Pak Stiyo lantas memberitahu hadirin bahawa sabar dan solat itu mampu mengurai masalah orang yang solatnya khusyuk. Kemudian Pak Stiyo bertanya lagi. “Apakah maksudnya khusyuk.?”

Ada yang menjawab fokus, asyik, syok dan pelbagai lagi. Namun, semua jawapan yang hadirin berikan, ditolak. Kerana apa yang hadirin nyatakan, tidak terdapat dalam al-Quran. Al-Quran telah menyatakan bahawa khusyuk itu ialah “mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”

Maka, boleh ditafsilkan bahawa orang yang khusyuk solatnya ialah orang yang solat dengan merasakan mereka akan menemui tuhan mereka dan mereka yakin akan kembali kepada-Nya. Mereka bersolat dalam keadaan sedar bahawa mereka datang menemui Allah dan sedar bahawa Allah memerhatikannya.

Pak Stiyo meneruskan dengan memberikan suatu analogi dalam menjelaskan pengertian ‘menemui’. Contohnya seorang anak berkata mahu menemui ibunya di kampung. Maka, apa yang boleh kita fahami daripada kata-kata ini ialah anak tersebut akan datang kepada ibunya di kampung. Kata ‘menemui’ membawa erti datang dan berjumpa. Oleh itu, mereka yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah, mereka sebenarnya sedang mendatangi Allah dan hadir kepada Allah. Maka, solat yang khusyuk ialah mereka yang solat dengan yakin bahawa mereka sedang datang kepada Allah, hadir kepada Allah dan kembali kepada Allah kelak.

Kekhusyukan juga bukanlah suatu fikiran atau khayalan, tetapi ia suatu kesedaran. Sedar bahawa dia sedang mendatangi tuhannya dan sedang menghadirkan diri menghadap-Nya. Kerana berfikir, nanti akan mengundang pelbagai pertanyaan dan akhirnya mungkin akan menilai Tuhan sebagai suatu penciptaan. Sedangkan kesedaran lebih daripada memikirkan dan merasakan. Ia wujud dalam nilai iman yang kukuh dan sempurna. Sangat yakin akan ada dan wujudnya Allah tanpa was-was dan ragu adakah benar Allah wujud? Maka, kunci kekhusyukan adalah keimanan yang jitu dan padu.

Kunci kekhusyukan ini turut dijelaskan dalam firman Allah Ta’ala pada ayat yang sama.

“(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka...”

Ayat ini jelas memulakan kata ‘menemui’ dengan kata ‘percaya’ dan’ yakin’. Percaya dan yakin inilah IMAN.

Wallahu a’lam. Sekadar berkongsi ilmu dan pengetahuan. Mari kita sama-sama fikir dan amalkan.

Tiada ulasan: