Ahad, Oktober 24, 2010

Mudah-mudahan impian jadi kenyataan

Bismillah

Saya pernah bercita-cita dan menanam impian seawal langkah pertama menjejakkan kaki ke tanah air tercinta untuk membina sebuah ‘team work’ merungkai masalah manusia. Bermula dengan kesempurnaan fardhu ain yang asas seperti solat, hingga pada tiupan semangat dan motivasi buat insan yang menginginkannya. Saya kira, suatu yang sia-sia, apabila ilmu yang Allah pinjamkan buat sementara, tidak dimanfaatkan sebaiknya. Kerana saya pun tidak pasti entah esok atau lusa, saya akan dijemput Yang Maha Esa. Saya ingin mencurah bakti sebagai bekalan akhirat abadi.

Alhamdulillah, dengan izin dan perkenan Allah, saya dan beberapa orang sahabat dalam usaha membina dan merealisasikan impian dan cita-cita yang telah lama tertanam. Ia berkat dan usaha kuat sahabat-sahabat terutama Ustaz Mohd Fairuz Tamjis yang begitu bersemangat.

Beberapa mesyuarat dan perjumpaan telah pun diadakan. Pada hari ini juga (Ahad, 24 Oktober) kami telah sama-sama duduk semeja berbincang dan berkongsi idea di Melaka bersama seorang sahabat kami (Ustaz Mohd Ridwan Roslan) yang berpengalaman dalam bidang ini.

Alhamdulillah, dengan izin dan perkenan Allah juga, kami telah bersepakat memilih itQan Training, Management and Consultancy sebagai nama kumpulan kami.

Pada awal igauan yang bermain di benak fikiran, saya cuma bercadang untuk mengadakan seminar solat cemerlang. Untuk permulaan, saya mangandaikan bahawa saya cuma mampu mengurus dan menganjur seminar solat cemerlang. Namun, kuasa Allah, setelah menanti dan mencari-cari rakan yang mahu bersama, akhirnya Allah kurnia anugerah. Bukan hanya seminar solat cemerlang, tetapi motivasi kecemerlangan, seminar kepimpinan, tahsin al-Quran dan pelbagai lagi yang bukan hanya tertumpu pada sekolah dan institusi pendidikan. Ia turut bakal memenuhi keperluan sektor korporat, kerajaan dan pelbagai badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan yang berkaitan.

Suatu yanglebih mengujakan apabila Pengarah Urusan, kini sedang sibuk mencari tempat untuk penubuhan Sekolah Rendah Islam (SRI) di Parit Raja.

Alhamdulillah. Semua ini kuasa tuhan. Moga ia benar-benar menjadi kenyataan dan mendapat perkenanan daripada Allah tuhan sekalian alam.

Pada sahabat-sahabat yang berminat menjemput kami mengisi keperluan di tempat kalian, boleh ajukan semua perkara tersebut melalui email saya hafiznoramli@gmail.com atau boleh layari www.itqan2u.blogspot.com

Mohon doa kalian. Moga Allah mudahkan. Mudah-mudahan impian jadi kenyataan.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: