Khamis, Oktober 07, 2010

“Mana sapi yang ingin dipotong itu?”


Bismillah

Sungguh mengujakan dan mengagumkan saat menikmati tulisan berkaitan sejarah seorang tokoh ilmuan Islam terkenal. Bagaimana tidak, beliau telah mampu mengubati para pesakit dalam usia yang terlalu muda. Ketika beliau berusia enam belas tahun, beliau telah memperaktikkan ilmunya dengan mengubati para pesakit. Sedang di Malaysia, usia seperti ini lazimnya dalam persiapan dan pengenalan awal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Demikian kehebatan sarjana Islam lampau berbanding generasi kini.
Nama penuhnya ialah Abu Ali Husain bin Abdullah bin Hasan bin Ali bin Sina. Dunia mengenalinya dengan Ibnu Sina atau Avicenna. Beliau digelar asy-Syaikhur Ra’iis (ketua para syeikh). Beliau lahir pada tahun 370 H di sebuah perkampungan kecil bernama Afsanah yang terletak tidak jauh dari Kota Bukhara dan berada dalam wilayah republik Uzbekistan.

Ibnu Sina telah mula mempelajari beberapa ilmu pengetahuan di kota Bukhara. Pertama kalinya beliau mempelajari ilmu tentang al-Quran dan sastera. Ketika usianya telah mencecah sepuluh tahun, beliau telah berjaya mengusai ilmu al-Quran dengan baik dan sempurna, disamping mampu menghafaz bait-bait syair dengan banyak sekali. Penguasaan beliau dalam kesusasteraan begitu cemerlang hingga mampu mengarang formulasi kedoktoran dalam bait syairnya.

Ahli sejarahwan turut mengiktiraf beliau sebagai orang pertama yang menyedari bahawa tahap situasi kejiwaan seseorang dapat menimbulkan beberapa penyakit tertentu pada anggota luar tubuh. Dalam kata lain, beliau berpendapat bahawa gejala-gejala penyakit disebabkan oleh dua hal utama, psikologi (akhlak, jiwa dan emosi) dan fizikal (anggota tubuh)

Terdapat beberapa kisah menarik tentang Ibnu Sina yang sekali gus menunjukkan kemampuannya dalam psikologi ketika proses penyembuhan pesakitnya jika diperlukan. Pernah diceritakan tentang salah seorang kerabat penguasa Jurjan mengidap suatu penyakit yang sangat sulit disembuhkan oleh para doktor. Namun, ketika Ibnu Sina merawatnya, beliau menemukan bahawa penyakit itu disebabkan dia menyembunyikan rasa cintanya.

Kemudian, Ibnu Sina meminta salah seorang yang hadir ditempat pengubatan itu untuk menyebut nama-nama jalan di daerah Jurjan, termasuk juga lorong-lorong kecil, rumah-rumah dan nama para penghuninya. Tiba-tiba saja, orang yang sakit itu bergetar ketika nama kekasihnya disebut-sebut. Sektika itu juga Ibnu Sina mengetahui bahawa dia sedang jatuh cinta. Ibnu Sina lantas menyarankan orang yang sakit itu untuk menikahi kekasih yang dicintainya. Setelah itu, orang itu beransur-ansur sembuh dari penyakitnya.

Ibnu Sina begitu pintar dalam merungkai setiap masalah pesakitnya. Perihal ini lantas membuktikan bahawa sakit dan penyakit itu bukan semata-mata pada fizikal yang dilihat manusia seperti, panas badan, lenguh-lenguh atau lain-lain lagi. Tetapi secara langsung ia amat berkait rapat dengan jiwa, emosi dan akhlak seseorang. Dalam konteks ini juga, memperlihatkan kepada kita kesepaduan ilmu dalam menyelesaikan masalah. Betapa sudut-sudut ilmu itu tidak boleh dipisah-pisahkan. Penyelesaiannya perlu dilihat secara holistik. Ini juga, antara rahsia kegemilangan ketamadunan Islam silam dan rahsia keupayaan para ilmuan mengusai pelbagai bidang secara serentak dalam satu masa.

Kisah lainnya pula adalah cerita tentang salah seorang penguasa dari Bani Buwaihi yang mengidap suatu penyakit dan dia tidak ingin menjamah makanan. Kerana itulah keadaan tubuhnya semakin bertambah parah, sehingga dia berkhayal bahawa dirinya telah berubah menjadi seekor sapi. Kemudian dia meminta orang untuk menyembelihnya dan menghidang dagingnya.

Apabila Ibnu Sina mendatangi Si Penguasa tersebut untuk merawatnya, beliau berdiri di hadapan pintu rumah sambil membawa dua pisau besar seraya berteriak. “Mana sapi yang ingin dipotong itu?”Ketika sang penguasa mendengar teriakan Ibnu Sina, dia pun segera keluar dan menghampirinya seraya menyahut dengan suara lantang. Kemudian, Ibnu Sina meraba-raba tubuh penguasa sambil memegang pisau yang dibawanya, lantas berkata, “Sapi itu sangat kurus dan lemah. Maka sebaiknya diberi makan terlebih dahulu agar lebih gemuk. Setelah itu barulah disembelih.”

Akhirnya, penyakit penguasa tersebut dapat diketahui dan dia mula menyantap makanan yang dicampurkan dengan ramuan ubat-ubatan oleh Ibnu Sina hingga penyakit penguasa itu dapat disembuhkan.

Oleh itu, sakit yang kita alami, bukanlah semata-semata pada mata yang melihatnya. Kerana mata yang melihat, masih banyak cacat cela yang belum sempurna. Maka, kesepaduan dan perkaitan antara semua sudut-sudut kehidupan, perlu digabungjalinkan. Jangan dilihat secara terpisah. Kerana pemisahan akan mengundang kebuntuan dan mampu menjemput masalah yang lebih besar.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: