Kini sudah terbit!!!Mereka yang selalu susah, tidak susah kehilangan kesusahan. Mereka yang selalu senang, tidak senang kehilangan kesenangan.
Khamis, Jun 30, 2011
Isnin, Jun 27, 2011
Rabu, Jun 01, 2011
Tiada kesedihan bagi siapa yang beristikharah
Kekadang sukar dan keliru untuk membuat keputusan. Kerana ada dua simpang di tengah perjalanan. Tambah mengelirukan apabila keduanya sama penting, sama arah tujuan dan sama memberi manfaat. Simpang kanan, menuju kepada cita-cita dan simpang kiri, membawa kepada impian. Keduanya penting dan membawa ke puncak matlamat.
Tetapi, kudrat yang ada, hanya mampu memikul satu sahaja. Amat mustahil untuk ke simpang kanan dan kiri; serentak dalam satu masa. Apa yang boleh dilakukan adalah memilih salah satu dari dua jalan. Mahu atau tidak, keputusan perlu dibuat. Mesti pilih satu sahaja. Takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Atau mungkin boleh dinilai melalui analogi yang menang menjadi arang, yang kalah pula, menjadi abu. Kedua-duanya sudah tiada nilai. Sama ada kalah atau menang, sudah tiada apa yang boleh dimanfaatkan.
Inilah lumrah kehidupan. Fitrah dan sunnah perjalanan. Salah satu terpaksa dikorbankan dengan berat hati tanpa kerelaan.
Setelah mengambil keputusan mahu memilih salah satu dari dua jalan, datang pula kekeliruan. Manakah antara keduanya, yang lebih baik dan menguntungkan?
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
عَنْ وَابِصَةَ بْنِ مَعْبَدٍ الْأَسَدِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِوَابِصَةَ جِئْتَ تَسْأَلُ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ قَالَ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ فَجَمَعَ أَصَابِعَهُ فَضَرَبَ بِهَا صَدْرَهُ وَقَالَ اسْتَفْتِ نَفْسَكَ اسْتَفْتِ قَلْبَكَ يَا وَابِصَةُ ثَلَاثًا الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ وَإِنْ أَفْتَاكَ النَّاسُ وَأَفْتَوْكَ
Dan dari Wabishoh bin Ma’bad radhiyallahu anhu, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan ?’ Aku menjawab : ‘Benar’. Beliau bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepadamu dan mereka membenarkannya”. (HR. Imam Ahmad bin Hanbal dan Ad-Darimi, Hadits hasan)
Namun, hati masih dipenuhi kekeliruan. Tidak tahu mana arah tujuan. Oleh itu, datanglah kepada Allah; Pentadbir sekalian alam. Pohonlah panduan dan pedoman. Kerana Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas bin Malik
” ما خاب من استخار ، ولا ندم من استشار ”
Maksudnya; Tiada kesedihan bagi siapa yang beristikharah dan tiada penyesalan bagi siapa yang berbincang (bermesyuarat) “
Wallahu a'lamKhamis, Mei 26, 2011
Tiada dua hati
{3} وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلًا
Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
{4} مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ذَلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِأَفْوَاهِكُمْ وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ
(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya dan Dia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu dan Dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua yang memimpin ke jalan yang betul.
(Surah al-Ahzab ayat 3-4)
Dalam suatu riwayat dikemukakan bahawa pada suatu hari. Ketika Nabi s.a.w. solat, terlintas di dalam hati baginda ucapan-ucapan orang munafik yang bersama-sama solat dengan baginda, bahawa mereka mempunyai dua hati. Satu hati bersama-sama orang kufur dan satu lagi bersama dengan orang mukmin. Maka, Allah menurunkan ayat ini sebagai penegasan bahawa Allah tidak menciptakan dua hati bagi manusia.
(HR Imam at-Tirmidzi, sanadnya hasan daripada Ibnu Abbas)
Menempuh dunia globalisasi yang rencam pada saat dan ketika ini, membikin hati kita ripuh dan kacau-bilau. Pelbagai keperluan yang mendesak, telah mengheret kita ke dalam satu dilema kehidupan yang sukar mencari keputusan dan penyelesaian. Ditambah dengan musuh yang sentiasa melekat rapat pada setiap inci darah yang mengalir, iaitu nafsu dan syaitan. Ia menambah kekusutan dalam membuat penilaian. Apa yang dilakukan, tidak terfokus dan mencapah ke pelbagai penjuru kehidupan.
Suatu masa dahulu, pernah kami dimarahi oleh guru kami Syeikh Abdul Azim Sya’aban ketika beliau melihat kehadiran kami dalam kelas talaqqi al-Quran yang tidak konsisten. Masing-masing memberi alasan. Ada yang menghadiri kelas yang lain, ada juga sibuk mengurus hal organisasi dan pelbagai. Hasilnya, keluar ayat 4 surah al-Ahzab dari mulut Syeikh. Allah tidak jadikan manusia dengan dua hati. Dalam maksud yang lain, manusia perlu fokus dalam melakukan suatu perkara.
Walhal, dalam dunia yang sedang kita tempuh ini, tidak boleh tidak, kita terpaksa melakukan banyak perkara dalam satu masa. Oleh itu, marilah kita meneliti sejarah. Melihat keagungan Nabi s.a.w. melakukan banyak perkara dalam satu masa. Baginda berjaya melakukannya kerana faktor keberkatan masa. Keberkatan yang demikian diperoleh melalui solat yang dijaga dan sujud sentiasa mengharap pada Yang Esa. Dengan itu, apa yang dilakukan, akan terfokus dan selalu mendapat pimpinan Allah. Moga Allah lestarikan taufiq dan hidayah-Nya buat kita. Amin...
Wallahu a'lam