Isnin, Mei 22, 2006

51,000 murid tidak tahu solat

Bismillah...

DUNGUN 19 Mei - Lebih 51,000 atau kira-kira 34 peratus daripada 149,000 pelajar tahun dua hingga enam di negeri ini didapati tidak tahu jumlah rakaat setiap solat lima waktu.

Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Mohd. Nasir Harun berkata, angka itu berasaskan kepada kajian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu baru-baru ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, Pengarah Pelajaran Terengganu, Draman Muda meminta pejabat-pejabat pelajaran daerah untuk menyebarkan masalah itu kepada ibu bapa agar mereka sama-sama membetulkan keadaan.

``Menakutkan, tetapi inilah realiti yang perlu diakui. Selain tidak tahu rakaat setiap solat lima waktu, sebahagian besar murid sama ada tidak tahu langsung atau tergagap-gagap ketika diminta membaca ayat asas solat termasuk al-Fatihah.

``Tidak tahu bilangan rakaat dan tidak pandai baca al-Fatihah, maknanya tak tahu solat,'' katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerangau di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Jerangau, Awang @ Mohamad Zaid Mat Zin dan Pengerusi PIBG SMK Jerangau, Mohammad Jusoh.

Menurut Mohd. Nasir, angka dan peratusan berkenaan mungkin jauh lebih besar jika kajian seumpama itu turut membabitkan pelajar tahun satu.

Bagaimanapun, katanya, kajian tersebut tidak melibatkan pelajar tahun satu kerana merasakan golongan berkenaan perlu diberi ruang untuk mempelajari perkara asas dalam ibadat itu.

``Jabatan Pelajaran menyasarkan kajian kepada murid tahun dua hingga enam kerana mereka sepatutnya sudah mampu dan sudah boleh menguasai perkara asas solat lima waktu.

`Siapa harus dipersalahkan sama ada ibu bapa, guru atau masyarakat. Bagi saya semua pihak perlu mengambil berat, namun ibu bapalah yang paling utama perlu memikul tanggung jawab itu.

``Jika anak tidak tahu bersolat, hal itu memberi gambaran bahawa ibu bapa atau penjaganya tidak memberi perhatian, malah berkemungkinan ibu bapa jarang bersolat di rumah,'' katanya.

Mohd. Nasir berkata, sebahagian besar masa pelajar ada bersama ibu bapa atau penjaga mereka di rumah dan mereka sepatutnya mengutamakan pengajaran solat kepada pelajar.

sumber: www.tranungkite.net

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: