Rabu, Mei 03, 2006

I Love U (iii)

Oleh Ilham Harapan

Bismillah...

Lama sungguh tidak saya bikin coretan dan beramah tamah melayani tajuk "I love U" ini. Semua ini mungkin kerana ripuh bergelandangan dengan topik lain. Saya kira tajuk ini telah amat lama tidak saya sambung perbahasannya dan membiarkan ia terus tergantung tanpa ada titik penyudah.

Oleh kerana itu, adalah lebih enak pembacaan jika diselak lembaran silam pada perbicaraan "I Love U (i) dan (ii)" sebelum meneruskan pembacaan perbahasan kali ini.

Dengan nama Allah, saya menyambung kembali

Oleh kerana itu, tidaklah salah kalau dikatakan cinta dan kata-kata, antara keduanya mempunyai kaitan yang sangat rapat. Cinta dan ungkapan kata “I love you” umpama darah daging. Sabda Nabi s.a.w.

حدثنا مسلم بن إبراهيم ثنا المبارك بن فضالة ثنا ثابت البناني عن أنس بن مالك ثم أن رجلا كان ثم النبي صلى الله عليه وسلم فمر به رجل فقال يا رسول الله إني لأحب هذا فقال له النبي صلى الله عليه وسلم أعلمته قال لا قال أعلمه قال فلحقه فقال إني أحبك في الله فقال أحبك (سنن أبي داءود) جزء 4 م.س 333

Maksudnya: Daripada Anas bin Malik. Kemudian bersamanya seorang lelaki, kemudian Nabi s.a.w. Kemudian melintasi baginda seorang lelaki. Maka berkata Anas: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku menyintai lelaki ini.” Maka Nabi s.a.w bersabda: “Adakah engkau telah memberitahunya?” Berkata Anas: “Belum ya Rasulullah.” Bersabda Nabi s.a.w: “Beritahulah dia.” Maka Anas mendapatkan lelaki tersebut lalu berkata: “Aku cinta kepadamu kerana Allah.” Maka lelaki tersebut menjawab: “Aku cinta engkau juga.”
Daripada hadith di atas, jelas menyatakan kepada kita bahawa cinta dan luahan kata-kata amatlah penting. Supaya ia ada nilai dan berharga.

Hadith di atas, kita lihat bagaimana saidina Anas meluahkan rasa cintanya kepada seorang sahabat. Mungkin bagi kita pada hari ini, ia merupakan suatu yang janggal atau jelek bila kita meluahkan rasa cinta pada kaum sejenis kita. Tetapi inilah rasa cinta yang sebenarnya.

Kata-kata Saidina Anas meluahkan rasa cinta pada sahabat, bukanlah satu fenomena gayboy, homoseks atau pun sebagaimananya. Ini adalah rasa cinta sebenar yang amat sekali digalakkan Islam. Meluahkan dan mempamerkan rasa cinta adalah digalakkan dalam Islam. Tetapi mestilah betul dan tepat pada tempatnya. Lihatlah bagaimana hadith di atas betapa Rasulullah menggalakkan kita meluahkan rasa cinta kepada saudara kita.

Begitulah kalau kita lihat, cinta dan ungkapan kata, tidak dapat dipisahkan. Kita lihat sendiri bagaimana Rasulullah mengarahkan kepada Saidina Anas agar rasa cintanya diluahkan. Agar rasa cinta itu bermakna serta berharga dan dapat dirasai kemanisannya bersama.

Kalau kita cinta ibu, ucaplah “I love you” mama. Agar rasa cinta pada ibu tampak. Kalau kita cinta saudara kita, ucapkanlah “I love you” saudaraku. Supaya rasa cinta pada saudara terzahir. Kalau kita cinta pada Rasulullah, ucaplah “I love you” wahai Kekasih Allah. Agar rasa cinta itu terbukti dan bukan hanya pendaman hati. Kalau kita cinta pada Allah, ucaplah “I love you” Allah. Supaya terlihat yang hambanya memang kasih padaNya.
bersambung...
Wallahu a'lam

Tiada ulasan: