Ahad, Mei 21, 2006

Nikmat Allah

Oleh Ilham Harapan

Bismillah...

Firman Allah yang bermaksud: Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak terhitung banyaknya...

Saya terharu sekali lagi hari ini bila punggung dilabuh pada kerusi van dan mata ditancap pada keadaan jalan di hadapan perhentian Gumlah. Tiba-tiba semua kenderaan berhenti. Ada seorang memberi koman dan arahan agar pemandu memberhentikan kenderaan masing-masing. Untuk apa?

Hati saya mula berdebar, mungkin berlaku kemalangan. Namun, sangkaan meleset bila melihat seorang wanita berumur teresot-esot menyeberang jalan. Pada mulanya saya terfikir dia terjatuh dilanggar kenderaan atau terjatuh sendiri. Tapi bila diteliti memang begitu keadaannya. Dia tidak mampu lagi berjalan seperti manusia lain.

Sebelum ini saya bertemu manusia bisu. Amat sukar dan terseksa mahu berkata-kata. Sedangkan kata-kata adalah komunikasi yang amat ampuh dan dhoruri serta amat penting. Hari ini bertemu pula dengan wanita berumur yang jalan teresot-esot. Kaki ada, tetapi tidak mampu lagi berfungsi seperti biasa. Lantaran itu tangan dan sedikit tenaga yang ada diguna sepenuhnya bagi meneruskan kehidupan. Semua boleh membayangkan betapa pedih dan siksanya.

Dalam kehidupan kita seharian, selain komunikasi, perhubungan juga merupakan medium yang sangat penting. Tanpanya, kehidupan akan menjadi canggung dan tempang. Mungkin dunia akan sepi dan letai tanpa ada sistem komunikasi dan perhubungan yang baik. Kita sepatutnya bersyukur pada hari ini. Kita juga mesti selalu basah lidah dengan kalimah memuji Allah. Ini kerana, sistem komunikasi dan perhubungan hari ini amat canggih dan moden. Hari ini kita mampu meneroka dunia hanya dengan hujung jari. Semuanya berlaku kerana sistem komunikasi dan hubungan yang baik.

Seterusnya kita semua boleh bayangkan kalau tiba-tiba misalnya sistem komunikasi tidak dapat berfungsi. Telefon tiada line, internet rosak seluruh dunia. Bagaimana? Kita juga boleh bayangkan dalam perjalanan contohnya dari Malaysia ke Dubai tiba-tiba enjin pesawat tidak lagi berfungsi. Bagaimana? Tentunya akan kucar-kacir, huru-hara dan alam mungkin akan hilang serinya.

Begitu kalau kita lihat bagaimana warga tua tadi yang telah pincang sistem perhubungannya. Kakinya tidak dapat lagi berfungsi dengan baik. Orang bisu yang tidak dapat lagi berkomunikasi dengan baik. Lidah tidak mampu lagi berbicara.

Oleh itu, kita harus rasa bersyukur. Semestinya bibir kita jangan luntur dari tutur bicara syukur. Jangan lidah kering dengan zikrullah dan jangan lokek masa menyebut dan memuji nama Allah. Kerana terlalu banyak nikmat yang kita ada. Tidak terhitung dan tidak akan mampu kita membalasnya.

Wallahu a’lam

Tiada ulasan: