Khamis, Mei 04, 2006

Relevenkah? Pengurus kilang memarahi produk keluarannya sendiri.

Ilham Harapan

Ahmad merupakan seorang pengurus kilang roti di sebuah daerah berhampiran planet marikh. Ahmad sangat menggemari roti, lantaran itu tercetuslah idea untuk membina sebuah kilang roti. Beliau, dengan sedikit pengalaman yang ada, berbekal sijil ijazahnya dalam Fakulti Perniagaan pengkhususan bidang pembikinan roti dan bersama kewangan berjuta-juta dinar telah mengumpulkan sebilangan pakar bagi tujuan tersebut. Beliau telah menubuhkan sebuah panel khas bagi memastikan roti keluarannya disukai ramai dan enak dimakan begitu saja.

Antaranya, beliau mengundang Razak Shumacher dari Utara Pluto merupakan pakar dalam bidang psikologi bagi menarik hati makhluk alam semesta kecor dan liur dengan roti. Beliau juga menjemput Rahman Jackson dari Timur Musytari merupakan pakar dalam bidang Mechine Enginering. Tidak dilupakan Talib Jakelina seorang pakar menguli adunan dari Bumi dan terdapat banyak lagi pakar-pakar dan profesional-profesional lain yang duduk semeja merealisasikan impiannya.

Maka, dari perbincangan seluruh pakar-pakar ini terhasillah sebuah kertas kerja dan resolusi dinamakan Penyata Ahmad. Tersebutlah di dalam Penyata Ahmad itu matlamat dan objektif, gerak kerja, bajet kewangan dan pelbagai lagi perkara yang semuanya adalah bertujuan merealisasikan impiannya. Dan panel pakar-pakar yang dijemput khas ini menyerahkan Penyata Ahmad ini kepadanya untuk dilaksana kerja seterusnya dan Ahmad amat setuju dengan kertas kerja tersebut yang mana beliau juga merupakan ahli panel yang paling utama dan paling banyak merancang. Setelah itu, bersiap-siagalah Ahmad dalam menterjemahkan segala apa yang tercatit dan tertulis dalam Penyata Ahmad dan Penyata ini dijadikan manhaj serta sistem dalam pembikian rotinya.

Maka, beliau mengarahkan seluruh kakitangan dan pekerjanya bekerja keras, bersungguh-sungguh, rajin, jujur, cekap dan amanah dalam menjalankan tugas. Semuanya digembleng bagi memastikan impiannya menghasilkan produk roti yang berkualiti tercapai.

Maka, setelah memakan waktu beberapa ketika, lahirlah roti keluaran Ahmad. Sementelah dan sekonyong-konyongnya Ahmad berang. Wajahnya mencuka. Bibirnya mencebik. Begitu juga Pegawai-pegawai pengurusan yang lain. Mereka semua berang dan marah-marah tanpa henti. Mereka semua marah pada roti produk keluarannya. Habis dimaki hamun dan disumpah seranah semua roti-roti. Setiap hari Ahmad dan barisan pegawainya memarahi roti tanpa henti. Maki hamun dan sumpah seranah terus-terusan menghujani roti keluarannya. Habis produk keluarannya menerima cacian, teguran, muhasabah dari Ahmad dan barisan pegawainya. Semuanya ini kerana roti yang dikeluarkan tidak memenuhi hasrat dan impiannya.

Kenapa ya? Sangat hairan dan memeningkan, Ahmad tidak pernah pula memarahai, muhasabah dan memberi teguran nasihat kepada Jemaah Pegawainya apa lagi kepada dirinya sendiri. Hari-hari mereka hanya menempelak roti dan kadang-kadang mengkritik pekerja-pekerja paling bawah.

Entahlah! Kenapa Ahmad begitu. Relevenkah Ahmad memarahi roti-roti tersebut. Relevenkah seorang pengurus memarahi produk keluarannya sendiri?

Wallahu a’lam

Tiada ulasan: