Ahad, September 10, 2006

Bukan hanya kejayaan dan kegagalan...

Bismillah

(Perhatian: Bagi mengelakkan kekeliruan memahami tulisan di bawah ini, sila baca tulisan sebelumnya. 1) Kegagalan dan kejayaan adalah milik mutlak Allah. 2) Begitu juga dengan kejayaan.)

Kalimah مُلْكُ (mulku) berbaris hadapan pada huruf mim, berbaris mati pada lam dan berbaris hadapan pada kaf. Allah telah menyebutnya di dalam Kitab-Nya yang Mulia sebanyak 30 kali. Kalimah مُلْكُ adalah kata nama terbitan (masdar) bagi kata nama ملك (malikun) berbaris atas pada mim dan bawah pada lam. Kalimah ملك (malikun) ini membawa erti raja atau penguasa. Di dalam Mu'jam Asasi, kalimah ملك (malikun) diertikan sebagai صاحب الأمر والسلطة على أمة أو بلاد membawa maksud pemilik bagi sesuatu urusan dan penguasa ke atas umat atau negara.

Pada 30 ayat yang Allah sebutkan kalimah مُلْكُ di dalam kitab suci al-Quran, boleh dikatakan semua 30 ayat ini secara jelas dan sarih merangkumkan betapa segalanya adalah milik mutlak Allah Taala. Ia bermula dari ayat 107 surah al-Baqarah. Allah Taala memulakan firman-Nya dengan hamzah istifham. Seolah-olah Allah bertanya kepada hambanya dan ia juga sebagai taukid dan penguat tentang pengkhabaran yang Allah turunkan.

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.

Di dalam tafsir al-Tobari. Imam Tobari menerangkan ayat di atas sebagaimana berikut:-

Kata-kata pada mentakwilkan firman Allah Taala { أَلَمْ تَعْلَم أَنَّ اللَّه لَهُ مُلْك السَّمَوَات وَالْأَرْض وَمَا لَكُمْ مِنْ دُون اللَّه مِنْ وَلِيّ وَلَا نَصِير } . Telah berkata Abu Jaafar: "Sesungguhnya telah berkata kepada kami, Adakah Rasulullah s.a.w tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu berkuasa atas tiap suatu? Dan sesungguhnya bagi-Nya kerajaan langit dan bumi sehingga diperkatakan kepadanya yang demikian?" Maka dijawab: "Ia." Adapun sebahagian mereka berkata: "Sesungguhnya yang demikian itu adalah pengkhabaran daripada Allah Taala tentang sesungguhnya Muhammad s.a.w memang benar-benar mengetahui yang demikian. Tetapi, kata-kata yang dikeluarkan dengan lafaz taqrir adalah sebagaimana yang dilakukan orang arab pada khitab sebahagiannya kepada yang lain. Maka, dia berkata kepada rakannya: "Adakah tidak engkau memuliakannya? Bermakna mengkhabarkannya bahawa sesungguhnya dia memang dimuliakan."

Di atas merupakan salah satu contoh keterangan ayat Allah betapa segalanya adalah milik Allah Taala. Bukan sekadar ayat penyata yang Allah turunkan. Malahan ditambah dengan kata penguat dan ta'kid memberitahu memang benar-benar Allah adalah Raja dan Penguasa kepada segalanya.

Antara ayat lain yang menerang dan memperjelaskan bahawa Allah Taala adalah Pemilik, Raja dan Penguasa seluruh alam, Pemerintah langit dan bumi sebagaimana dalam surah Ali Imran ayat 189, al-Maidah: 170 dan 180, al-Nur: 42, al-Jathiyah: 27 dan al-Fath: 14.

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

Maksudnya: Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi,

Semuanya secara jelas dan nyata memberitahu bahawa langit dan bumi adalah di bawah pemerintahan Allah Taala. Dialah yang Maha Kuasa. Dialah juga yang menentukan segalanya. Banyak lagi ayat Allah yang menyebut dengan terang kalimah مُلْكُ memperjelas kekuasaan yang Maha Mutlak kepada Allah Taala. Banyak juga ayat-ayat lain yang tidak diperbahas di sini yang menyatakan perihal kekuasaan mutlak Allah Taala. Tidak terhitung juga kalimah-kalimah secara kiasan dan tidak jelas menerangkan perihal kekuasan Allah Taala sebagaimana kalimah مُلْكُ .

Khulasatul qaul, bahawa tidak syak lagi segalanya adalah mutlak milik Allah Taala. Bukan sekadar kejayaan dan kegagalan. Malahan semuanya adalah milik-Nya.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: