Jumaat, September 08, 2006

Hiburan di zaman Rasul Agung (bhgn. Akhir)

Bismillah

Baginda Nabi juga pernah bergurau bersama sahabat baginda. Diriwayatkan daripada Abu Daud dalam satu riwayat dikatakan: "Sesungguhnya Rasulullah saw bergelut dengan Rukanah yang terkenal kuatnya itu, kemudian ia berkata: berjanjilah dengan saya untuk lain kali lagi, lantas nabi bergelut untuk ketiga kalinya. Lantas lelaki itu bertanya: "Apa yang harus saya katakan kepada keluargaku?" Nabi menjawab: "Katakan anak kambing telah dimakan oleh serigala dan larilah anak kambing.Dan apa pula yang hendak aku katakan untuk yang ketiga?" Nabi menjawab: "Kami tidak dapat mengalahkan kamu untuk bergelut dengan kamu dan untuk mengalahkan kamu, kerana itu ambilah hadiahmu."

Pada zaman Rasulullah, sahabat-sahabat baginda juga tidak lepas dari sifat suka berseronok dan mahu berhibur. Lantaran itu baginda Nabi pernah bersabda: "Lemparkanlah panahmu itu, aku bersama kamu." (h.r Bukhari)

Rasulullah bersabda demikian ketika mana baginda sedang berjalan-jalan dan menjumpai sekelompok sahabatnya yang sedang mengadakan pertandingan memanah, maka pada waktu itu Rasulullah memberikan dorongan kepada mereka. Dalam satu riwayat lain daripada Bazzar dan Thabrani dengan sanad hasan, baginda s.a.w bersabda: "Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-sebaik permainanmu."

Namun begitu Rasulullah s.a.w memperingatkan kepada para pemain agar tidak menjadikan binatang-binatang jinak dan seumpamanya sebagai sasaran sebagaimana yang dilakukan masyarakat Jahiliah.

Inilah antara beberapa permainan dan hiburan yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w dan banyak lagi contoh-contoh permainan yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w.

Dalam satu riwayat yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a ia berkata: "Ketika orang-orang Habasyah sedang bermain pedang di hadapan Nabi s.a.w, tiba-tiba Umar masuk, kemudian mengambil kerikil dan melemparkannya kepada mereka. Kemudian baginda Nabi s.a.w berkata kepada Umar: "Biarkan mereka itu, wahai Umar."

Ini merupakan suatu kelapangan dan toleran daripada baginda Nabi s.a.w dengan mengizinkan permainan seperti ini dilakukan yang mana permainan ini berlaku di kawasan masjid. Ini juga menunjukkan betapa Nabi s.a.w menganjurkan kesepaduan antara kepentingan dunia dan akhirat yang mana Nabi tidak melarang orang-orang Habasyah bermain pedang di kawasan masjid.

Oleh itu, ulama berkata berdasarkan hadis di atas: "Bahawa masjid dibuat adalah demi kepentingan kaum muslimin. Oleh kerana itu, apa saja kiranya bermanfaat untuk agama dan manusia, maka bolehlah dikerjakan di masjid."

Zaman Rasulullah s.a.w telah berlalu. Ia telah menjadi sejarah. Peristiwa di atas merupakan beberapa rakaman sejarah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w berkaitan hiburan. Ini adalah beberapa contoh bagaimana Nabi s.a.w dan para sahabatnya berhibur. Inilah antara tauladan yang wajib dianuti setiap orang Islam. Rasulullah dan para sahabat baginda telah memberi tunjuk ajar yang terbaik tentang bagaimana mereka berhibur.

Akhirnya, mari sama-sama kita renungkan sabda baginda Nabi s.a.w. Hanzalah pada satu ketika beliau bertemu Abu Bakar, kemudian terjadilah suatu dialog:
Abu Bakar: Apa khabar ya Hanzalah?
Hanzalah : Aku telah berbuat nifaq!
Abu Bakar: Subhanallah, apa yang kamu katakan itu?
Hanzalah : Bagaimana tidak! Aku selalu bersama Rasulullah s.a.w, ia menuturkan kepadaku tentang neraka dan syurga yang seolah-olah syurga dan neraka itu aku lihat dengan mata kepalaku. Tetapi setelah aku keluar dari tempat Rasulullah, kemudian saya bermain-main dengan isteri dan anak-anak saya dan bergelumang dalam pekerjaan, maka saya sering lupa tutur Nabi itu.
Abu Bakar : Demi Allah saya pun berbuat demikian!
Kemudian Hanzalah bersama Abu Bakar pergi bertemu Rasulullah dan mencerikan perihal mereka di hadapan Nabi s.a.w. Kemudian Rasulullah bersabda: "Demi Zat yang diriku dalam genggamannya! Sesungguhnya andai kata kamu disiplin terhadap apa yang pernah kamu dengar ketika bersama aku dan juga tekun dalam zikir, nescaya malaikat akan bersamamu di tempat tidurmu dan di jalan-jalanmu. Tetapi hai Hanzalah, sa'atan, sa'atan!" (bergurau sekadarnya) Diulangi ucapan itu sampai tiga kali.

Daripada hadis di atas, dapatlah kita mengambil iktibar bahawa baginda Nabi s.a.w tidak melarang dan menghalang sahabat baginda untuk berhibur, berlibur dan bergurau senda bersama keluarga. Malahan ia suatu yang digalakkan bagi mengeratkan lagi ikatan di kalangan ahli keluarga. Namun, Rasulullah memperingatkan kepada kita agar semuanya itu dilakukan sekadarnya dan baginda Rasul mengulangi ucapan beliau sebanyak tiga kali. Ini menunjukkan betapa sebenarnya agama Islam tidak pernah melarang penganutnya untuk berhibur. Namun begitu, perlulah berpada-pada jangan sampai tercalar kesucian agama.

Wallahu a'lam.


Rujukan:

1) Tafsir al-Munir Jilid 30.
2) Kitab Halal dan Haram dalam Islam karangan Dr Yusof Qardhawi.

Tiada ulasan: