Ahad, September 24, 2006

Selamat meneruskan perjuangan

Bismillah

Tiada kata untuk diungkap, tiada madah untuk ditatah buat bicara sentuhan yang terindah melainkan menadah tangan syukur tak berkesudah kehadrat Illahi Pencipta alam Yang Maha Megah. Selawat dan salam buat Rasul tercinta, utusan akhir zaman.

Teringat kembali detik sejarah dalam hidup, pada Oktober 2004. Takdir dan ketentuan Allah meletakkan saya sebagai penggalas tanggungjawab dalam barisan kepimpinan Badan Kebajikan Pelaja-pelajar Johor Di Mesir (BKPJM) yang amat disayangi. Dari saat itu, bermulalah sebuah episod baru dalam kehidupan yang belum pernah dilalui sebelum ini. Itu sejarah silam yang telah hampir dua tahun ia berlalu.

Kini, apa yang dihadapi dan didepani adalah satu proses silih berganti atau putaran lazim dalam roda kehidupan insan. Bersara, pencen dan berhenti berkhidmat merupakan suatu perkara biasa dalam menjawat sesebuah jawatan. Bagi saya, ini suatu rahmat dan merupakan saat manis yang harus dipanjat rasa syukur tak terhingga ke hadrat Yang Maha Esa atas sebab beban yang berat telah pun di angkat.

Sungguh pun begitu, kadang-kadang ingin menitis air mata bila melihat rakan-rakan yang saya anggap mereka terpaksa atau mungkin juga terpedaya (sekadar berseloroh). Mereka-mereka yang masih meneruskan perjuangan dalam arena kepimpinan.

Kerana, hakikat sebenarnya adalah pahit dan getir. Hakikat bahawa tiada lagi manusia yang sanggup berkorban apa saja demi menjaga maslahah semua. Mereka-mereka yang masih duduk dan baru menduduki kerusi kepimpinan inilah golongan manusia yang saya kira Allah pilih dan buka hati-hati mereka memberi kefahaman yang jelas bahawa kepimpinan ini adalah ahammu al-muhim yang boleh kita klasifikasikan sebagai perkara dhoruri dan sangat penting. Mereka sudi mengambil tempat ini atas dasar fardu dan wajib.

Sejarah telah membuktikan secara jelas merakamkan bahawa jasad Rasulullah tidak disemadikan selama tiga hari lantaran mencari pengganti buat penerus agama Islam yang suci. Begitu juga yang berlaku di zaman khalifah yang seterusnya. Ini menunjukkan kepada kita betapa kepimpinan ini ada suatu dhoruriyat yang tidak boleh dipandang enteng atau mungkin sekadar picisan buangan.

Saya menganggap kebanyakan kita amat faham dan sungguh-sungguh mengerti perihal kepentingan adanya kepimpinan ini. Namun begitu, tidak semua sudi mengisi kerusi-kerusi kosong dalam saf kepimpinan. Ini disebabkan tanggungjawab yang amat berat yang mungkin terpaksa bergadai harta benda, tenaga dan sebagainya.

Oleh yang demikian, tidak boleh tidak, kesudian mereka-mereka yang mengisi kerusi kosong barisan kepimpinan, sangat perlu kita hargai. Kita perlu meraikan keterbukaan hati mereka dalam menerima tambahan tugas dan amanat sebagai pimpinan yang juga seorang penuntut. Caranya, kita haruslah sama-sama juga sudi berkorban apa saja dalam membantu mereka. Membiarkan mereka terkontang-kanting tanpa ada usaha bahu-membahu dari kita, adalah suatu dosa yang juga bakal Allah tanyakan di akhirat kelak.

Buat akhirnya, saya memohon ribuan ampun dan maaf daripada semua di atas kesalahan, kesilapan dan tanggungjawab yang tidak berjaya dilunaskan. Moga hati kalian Allah bukakan memberi kemaafan kepada saya yang serba kekurangan.

Terima kasih tidak terhingga buat seluruhnya yang sama-sama membantu dalam melaksanakan tugas yang Allah pundak dan amanahkan buat saya.

Untuk rakan-rakan yang masih di kerusi kepimpinan dan baru menduduki kerusi ini, selamat meneruskan perjuangan. Moga Allah sentiasa bersama kamu semua. Doakan saya juga moga tetap dan thabat dalam perjuangan serta menjadi penjulang nama Allah dan Rasul-Nya walau di mana berada.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: