Selasa, November 14, 2006

Entah la...

Bismillah...

Semalam ketika melihat surat khabar, saya amat tertarik hati melihat replika jambatan kedua Pulau Pinang. Saya terus menatap dan membaca. Sungguh mengagumkan. Projek yang memakan belanja RM3 bilion, yang bakal disiapkan dalam tempoh masa 5 tahun ini, dilihat sebagai pemacu ekonomi negara dan penyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat. Dilihat dari segi fizikalnya, ia memang membanggakan dan bakal menaikkan nama Perdana Menteri kita Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi.

Bagi pandangan saya, ia sangat mampu membuka mata rakyat terutama musuh-musuh Pak Lah yang selama ini cuba menjatuhkan beliau. Tahniah kepada pimpinan Pak Lah yang semakin hari semakin berjaya memadam conteng-conteng arang yang dimekap pada wajahnya.

Namun begitu, bila difikir dengan akal yang dalam. Melihat dan memerhati sejarah dan peristiwa yang berlaku dulu, ia membawa saya kepada suatu persepsi yang agak negatif. Bukan niat saya mahu memfitnah, menuduh dan jauh sekali menghasut. Kenapa saya kata begitu? Kerana masyarakat melayu hari ini dimomokkan oleh pimpinan parti melayu bahawa segala unsur yang tidak menyokong mereka, adalah fitnah walaupun ia benar dan cuba mendedahkan fakta sebenar. Momokan umpama ini, saya kira semua sudah maklum dan bukan topik perbincangan untuk saya celoteh panjang.

Bila saya meneliti semula, beberapa persoalan bermain di ruang fikiran. Kenapa perlu dibina jambatan kedua di Pulau Pinang? Apakah keutamaannya. Bila ditimbang tara, saya kira Jambatan menggantikan tambak johor adalah lebih utama. Jambatan kedua Pulau Pinang ini juga merupakan satu projek yang tidak memakan masa yang lama untuk diputuskan dan melalui birokrasi yang paling mudah.

Pada tahun 2002, saya sempat melawat dan melancong ke tanah lagenda Langkawi yang dua tahun selepasnya dilanda tsunami. Sungguh banyak tempat menarik dan bersejarah di Langkawi. Banyak juga tempat-tempat dan kawasan yang dibangunkan secara moden dan mengagumkan.

Di Langkawi, saya sempat menziarahi sebuah muzium yang menyimpan begitu banyak memorial berkaitan Tun Dr Mahathir. Sebuah bangunan yang memakan wang jutaan ringgit yang dipenuhi ribuan ukiran pakistan, turki dan beberapa negara lagi.

Bila melihat dua situasi ini, saya bertanya pada diri. Bilakah perdana menteri akan lahir dari anak negeri johor. Pastinya nanti johor akan lebih membangun dan jambatan yang menggantikan tambak mungkin akan diteruskan. Bilakah juga perdana menteri akan lahir dari negeri kelantan yang saban hari dimomokkan tentang kelemahan pimpinannya. Bilakah juga situasi umpama ini akan berakhir? Bilakah keadilan sebenar akan kita kecapi?

Entah la...

Moga Allah berkati. Moga daulah islamiah akan kembali menyinar dan merajai dunia. Amin...

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: