Selasa, November 28, 2006

Selamat tinggal sayang

Bismillah...

Selang beberapa hari memijakkan kaki ke bumi tercinta, saya digerakkan Allah menuju sekolah lama saya yang saya kira paling banyak mencurah jasa hingga dengannya memungkinkan saya memijak bumi Anbiyak. Dulu hanya sekolah arab yang serba-serbinya kekurangan. Namun kini, kemudahan infrastruktur semakin mencukupi. Nama pun telah bertukar kepada Sek. Men. Agama Bugisiah Tampok.

SMA Bugisiah Tampok, banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Situasi di asrama yang hanya berdindingkan papan, mengajar saya erti kesusahan lantas mampu mematangkan diri. Hidup berdikari. Basuh baju sendiri, iron baju sendiri dan hampir semua urusan diri, sendiri yang urus.

SMA Bugisiah Tampok, mengajar saya kataba hinggalah tasrifnya yang pelbagai langgam dan selok belok. Ia juga yang mengenalkan saya mubtada' hukumnya marfuk dan lain-lain lagi pembelajaran. Ia mengenalkan saya keindahan dan keenakkan mencicipi bahasa syurga; bahasa arab.

SMA Bugisiah Tampok, mendidik saya ilmu kemasyarakatan dan menggilap dengan kilat bakat-bakat diri yang dulunya gelap. Suatu masa dulu semasa tadika, ayah pernah beri amaran kepada saya kalau saya tak kenal walau seorang kawan, saya akan diberhentikan. Saya sangat pendiam dan langsung tidak pandai bergaul bersama masyarakat. Tetapi, saya kira SMA Bugisiah telah mengikis ketidakpandaian saya.

SMA Bugisiah atau mana-mana Sek Men Agama, juga mana-mana sekolah arab atau pondok(sekolah menengah yang mempunyai pembelajaran arab penuh), masing-masing yang menuntut ilmu di situ, semuanya meninggalkan berjuta ilmu dan pengalaman yang amat berguna.

Hari ini bila melihat situasi dan cuaca semasa, menampakkan sekolah-sekolah umpama ini, semakin menjadi tumpuan dan buruan pelbagai pihak terutama ibu bapa. Segalanya untuk memastikan masa depan tidak sia-sia. Ibu bapa dapat merasakan situasi bobrok dalam masyarakat, bakal menenggelamkan masa depan yang cerah. Situasi bobrok masyarakat boleh dilarikan dari diri anak-anak mereka dengan menghantar belajar di sekolah agama.

Walaubagaimanapun, sekolah umpama ini mempunyai tekanan dan musuhnya. Suatu ketika dahulu, sekolah-sekolah umpama ini telah diberhentikan bantuan perkapita. Hasilnya, banyak yang tidak mampu meneruskan operasinya. Namun kita harus bersyukur terutama yang berada di negeri Johor, sekolah umpama ini masih boleh berdiri dan ada juga sebahagiannya yang telah diambil alih oleh pihak kerajaan negeri. Akhirnya, ia terus berkembang dan masih utuh.

Suatu masa dahulu juga, kementerian pendidikan pernah menawarkan kepada sekolah-sekolah umpama ini untuk diserahkan kepada pihak kementerian. Seingat saya sewaktu itu perbincangan diadakan di Langkawi pada tahun 2000. Tetapi majoroti ahli mesyuarat tidak bersetuju dengan tawaran kementerian.

Namun, akhir-akhir ini penawaran umpama ini dibuka kembali dan beberapa buah sekolah dalam negeri johor telah pun menyerahkannya kepada pihak kementerian.

Sedar atau tidak, pihak kementerian bakal menjadikan sekolah umpama ini sebagai sekolah menengah agama yang tiada lagi pelajaran bahasa arab secara kompleks dan hanya menawarkan pengajian bahasa arab komunikasi dan tinggi. Silibus pengajian bahasa arab umpama nahu, saraf, tauhid, hadis dan pelbagai lagi, tidak akan lagi diajar. Akhirnya sekolah umpama ini nasibnya seperti sekolah menengah biasa. Tiada lagi pembelajaran agama dalam bahasa arab yang pelbagai.

Mungkin suatu masa nanti kita akan ucapkan selamat tinggal sayang...

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: