Sabtu, Jun 24, 2006

Al-Wahnu

بسم الله


Semalam, buat julung kalinya, Asrama Pelajar Johor Mesir (APJ) di kunjungi oleh al-fadhil Ust. Abdul Fatah Jaafar, Setiausaha Agung PMRAM 2006. Kehadiran beliau amat dialu-alukan. Sama-sama kami membaca surah Yasin bersempena malam jumaat yang mulia. Namun, bagi saya walaupun rumah Johor dikunjungi pimpinan dari PMRAM, ada sesuatu yang amat memilukan bilamana batang hitung penghuni APJ hanya seketul dua sahaja yang kelihatan. Ke mana yang lain. Ke mana mereka pergi?


Bersempena kehadiran beliau, pihak BKPJM menjemput al-fadhil Ustaz memberikan tazkirah. Pelbagai isu dan polemik cuba beliau utarakan. Bermula dari isu yang berlaku di seluruh dunia hinggalah ke negara kita yang tercinta. Pelbagai isu dan polemik yang menggusarkan bagi mereka-mereka yang punyai fikiran dan mahu berfikir.

Bagaimana dengan keadaan Iraq yang masih belum reda ketegangannya ditambah dengan pembunuhan as-Syahid Syeikh Zarqawi. Begitu juga di Iran. Bagaimana Amerika begitu melobi seluruh dunia agar menentang jenayah nuklear yang sedang Iran bina. Selang beberapa hari lepas, timbul kontroversi di Somalia dan pelbagai lagi isu dan polemik dunia.

Namun, apa yang amat dikesali, semua isu ini adalah seputar masyarakat dan dunia Islam. Mungkin kita boleh berbangga sekiranya apa yang menimpa kita adalah sesuatu yang menjulang dan menyokong kedudukan Islam. Tetapi realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Islam, semakin hari semakin ditekan, ditindas dan dibaham lumat. Kita diserang dari pelbagai sudut. Kiri, kanan, atas, bawah dan dalaman. Paling mengecewakan adalah musuh-musuh dari kalangan kita sendiri.

Baru-baru ini, saya ada menontot sebuah rancangan ‘BONGKAR.’ Rancangan ini membongkar beberapa isu dan jenayah yang berlaku di Malaysia. Amat menyedihkan bila wartawan membongakar sebuah belukar yang menjadi sarang dan lubuk pelajar-pelajar ponteng sekolah. Mereka berumur sekitar 14 dan 15 tahun. Melakukan aktiviti menghidu gam dan hampir 20 orang dalam masa sehari terlibat dalam kancah ini. Sangat memilukan.

Akhir sekali sebelum Ustaz Fatah melangkah pulang, sempat kami berbual meneliti semula apa yang dituturkan sebentar tadi. Apa yang menariknya saya tersentuh hati bila beliau mengatakan bahawa isu, masalah dan segala bentuk musibah ini berlaku adalah berpunca dari ulama. Beliau berkata hari ini amat kurang ulama yang takutkan Allah. Kata-kata ini bagi saya amat menyentuh jiwa.

Kalau kita telaah dan teliti, tidak boleh tidak, percaya atau tidak, mahu terima atau tidak, kita adalah generasi pelapis ulama atau ulama in the making. Tapi, bila saya lihat pada diri dan maaf kata, kepada seputar kita bahawa tindak tanduk kita kebanyakannya tidak menunjukkan sifat seorang ulama. Ingin juga saya kaitkan dengan apa yang Ustaz Fatah perkatakan. Bila kita perhati, kita memang manusia yang tidak takut pada Allah. Kita lebih cinta dunia dan takutkan mati.

Akhir kalam. Sabda Nabi s.a.w

حَدَّثَنَا ‏ ‏عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الدِّمَشْقِيُّ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏بِشْرُ بْنُ بَكْرٍ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏ابْنُ جَابِرٍ ‏ ‏حَدَّثَنِي ‏ ‏أَبُو عَبْدِ السَّلَامِ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏ثَوْبَانَ ‏‏ قَالَ ‏
‏ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ ‏ ‏تَدَاعَى ‏ ‏عَلَيْكُمْ كَمَا ‏ ‏تَدَاعَى ‏ ‏الْأَكَلَةُ ‏ ‏إِلَى ‏ ‏قَصْعَتِهَا ‏‏ فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ ‏ ‏غُثَاءٌ ‏ ‏كَغُثَاءِ ‏ ‏السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w bahawa hampir-hampir seluruh manusia mengerumuni kamu sebagaimana mengerumuni makanan pada bekasnya. Lalu ditanya kepada Rasulullah s.a.w: “Adakah mereka lebih sedikit bilangannya daripada kami?” Maka jawab Rasulullah s.a.w bahawa kamu (umat islam) pada waktu itu adalah lebih ramai dari hari ini tetapi kamu buih umpama buih yang dibawa air mengalir dan Allah mencabut dari dada-dada musuh kamu gerun kepada kamu dan Allah mencampakkan di hati-hati kamu al-wahnu. Maka ditanya kepada Rasulullah s.a.w: Ya Rasulullah! Apa dia al-wahnu?” Jawab Rasulullah s.a.w cintakan dunia dan takutkan mati.

والله أعلم بالصواب

Tiada ulasan: