Rabu, Jun 07, 2006

Kemunculan semula majalah Dian disambut baik

KOTA BHARU, 6 Jun (Hrkh) - Pelbagai pihak di negeri ini menyambut baik kemunculan semula majalah Dian yang terkenal dengan ruangan mikroskop dan penawar dari al Quran, selepas 22 tahun penerbitannya terhenti.

Seorang pengiat seni, Abdullah Ismail, 46 berkata, majalah Dian Dalges pernah menjadi koleksinya ketika berada di pasaran kerana memuatkan pelbagai bahan menarik.

"Majalah ini adalah di antara majalah yang berjaya diterbitkan di Kota Bharu bersama majalah Pengasuh terbitan Majlis Agama Islam Kelantan dan mendapat sambutan baik.

"Malangnya penerbitannya begitu lama tidak berada di pasaran sehingga muncul semula pada 3 Jun lalu yang dijual pada promosi sempena seminar ancaman Islam Liberal di Balai Islam," katanya di sini.

Majalah Dian versi baru diterbit semula Dian Darulnaim Sdn Bhd yang beralamat di Jalan Pahang Kuala Lumpur. Manakala syarikat induknya terletak di Lundang Kota Bharu, sebuah syarikat pencetak terkenal di Kelantan.

Pelbagai bahan menarik dimuatkan pada cetakan yang memasuki bilangan ke-163 iaitu sambungan kepada edisi lama setelah terhenti beredar di pasaran selama 22 tahun lalu.

Antaranya, pergolakan di selatan Thailand, harga minyak naik, Islam di antara betul dan lebih betul serta personaliti pengasas Pustaka Dian, Dato' Yusof Zaki Yaakob.

Pasukan pengarangnya diketuai bekas editor majalah Muslimah, Nik Fauziah Nik Hussin. Harga promosi yang ditawarkan sekarang iaitu RM3 senaskah.

Seorang penulis buku, Alias Mohd Noor berkata, penerbitan majalah Dian tepat pada masanya memandangkan umat Islam kekurangan majalah serius yang memuatkan tulisan berkaitan agama dan isu semasa secara lebih berani.

"Sepatutnya orang ramai merebut peluang tersebut dengan memiliki majalah Dian untuk menambahkan lagi pengetahuan semasa. Ia juga amat sesuai bagi pelajar-pelajar di peringkat menengah dan pengajian tinggi.

"Saya juga berharap harga yang ditawarkan selepas promosi sekarang lebih berpatutan memandangkan majalah Massa yang dijual dengan harga RM6 berkubur selepas beberapa tahun berada di pasaran," katanya.

Rujukan: harakahdaily.net

Tiada ulasan: