Khamis, Jun 22, 2006

Pandangan dibuka semula

بسم الله

Ucapan syukur tak terhitung kepada Allah. Selawat dan salam buat Rasul junjungan.

Sudah lama pandangan tidak dibuka. Semuanya mungkin kerana khusyuk mentelaah kitab dan mengulangkaji pelajaran. Periksa, exam dan imtihan. Kerananya membuat kita kadang-kadang lupa dengan dunia dan alam sekeliling. Itulah penangan peperiksaan. Dan inilah juga salah satu manhaj dan kaedah yang dipelopori barat. Kebanyakan hari ini pelajar (termasuk penulis) rata-rata mengejar sijil dan belajar kerana imtihan. Pada tahun 2003, saya pernah terbaca satu statistik di Hongkong purata 450 orang pelajar universiti pada setiap tahun bunuh diri kerana gagal dalam exam. Inilah akibat sistem dan manhaj yang menjadikan peperiksaan segala-galanya.

Tapi, saya kira penuntut di Azhar Universiti tidak seperti ini. Malahan ada pula yang seronok dan sengaja mencipta kegagalan. Itulah keunikan kita. Itulah keistimewaan orang Islam yang bertuhankan Allah.

Hari ini, usai makan malam, saya berjalan kaki ke Asrama Pelajar Johor. Sudah lama rasanya tak melakukan aktiviti ini. Sedang berjalan, di hadapan Supermarket Galery, saya terpandang tiga orang mak cik sedang berbual. Mereka adalah penjual tisu, lemon dan juga lap di lorong berhadapan Galery. Cuma entah kenapa hati saya terdetik dan akal mula berfikir tentang kesusahan dan kepayahan penduduk Mesir dalam menjalani kehidupan harian mereka.

Bukan sebelum ini tidak pernah nampak mereka. Mungkin hari ini kerana usai semua imtihan, seolah-olah pandangan dibuka semula setelah hampir sebulan fikiran dan pandangan tertumpu pada kitab dan pelajaran. Imtihan di Mesir, di Universiti al-Azhar sangat mencabar dan betul-betul menguji segala-galanya dari segi fizikal mahupun spritual. Semuanya teruji hinggakan pernah keluar disurat khabar utusan baru-baru ini bahawa peperiksaan di Mesir sesuatu yang pelik.

Peperiksaan di sini sungguh-sungguh menguji. Kalau dibandingkan di Malaysia, biasanya pensyarah akan mengarahkan pelajar membuat esaignment dan dari situ markah akan diambil. Begitu juga dengan kehadiran, aktiviti ko-kurikulum dan pelbagai lagi sudut pemarkahan yang diambil kira yang secara kesulurannya menampung pemarkahan di atas kertas semasa menjalani peperiksaan. Ia amat berbeza dengan apa yang berada di sini. Kebanyakannya hanya berorientasikan jawapan di atas kertas semata-mata. Tiada markah tambahan dari aktiviti lain. Sebab itu peperiksaan di sini amat mencabar.

Pensyarah kami dikuliah suatu ketika dahulu pernah berkata bahawa walaupun kita jawab penuh dalam kertas jawapan dan jawapan kita memenuhi soalan secara tepat. Namun ia masih belum menjanjikan kejayaan. Anda boleh bayangkan terkejutnya saya ketika mendengarnya yang mana pada waktu itu saya baru menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini. Sebenarnya kata kawan saya, pensyarah dan guru-guru di sini mahu mendidik kita bukan dari segi teori semata. Tetapi dari segala aspek, dari segi perlaksanaan dan sebagainya. Ia mendidik kita agar bergantung penuh kepada Allah semata-mata.

Suatu lagi apa yang menarik di Malaysia, melalui sistem yang dijalankan secara tidak langsung melatih pelajar tentang pengurusan, cara membuat kertas kerja dan ia juga sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada ICT dan lain-lain lagi. Berbeza dengan di sini. Semuanya itu agak kurang dan boleh dikatakan tiada. Sebab itulah penglibatan dalam persatuan amat penting di sini. Sedikit sebanyak kemahiran berkaitan organisasi, ICT, komunikasi bersama masyarakat dan sebagainya boleh ditimba melalui aktiviti persatuan.

Alhamdulillah. Waktu ini boleh dikatakan semua kalangan kita telah usai peperiksaan. Demam peperiksaan boleh dikatakan sudah tamat. Marilah sama-sama kita bermohon kehadrat Allah Ta'ala semoga diberkati ilmu kita, diberkati segala-galanya, diluaskan rezki dan diberi kejayaan dunia dan akhirat. Amin...

والله أعلم بالصواب

Tiada ulasan: