Rabu, Oktober 11, 2006

Cerita hari ke lima

Bismillah

Alhamdulillah sudah masuk hari ke lima menjalani detik-detik kehidupan di tanah air yang tercinta. Saat demi saat yang berlalu dan detik demi detik yang diharungi menghidang pelbagai pengalaman dan pengajaran.

Semalam, menziarahi sekolah lama yang sudah hampir 5 tahun ditinggalkan dan sudah 3 tahun tidak menjenguk. Keadaan fizikal sekolah telah banyak berubah. Pelbagai infrastruktur telah lengkap tersedia. Kemudahan-kemudahan baru dan tempat belajar juga tempat tinggal yang serba baru dan selesa. Keyukuran harus dipanjatkan atas kurniaan dan anugerah yang telah Allah berikan. Ia amat berbeza dengan apa yang saya tempuhi 5 tahun dulu.

Namun, apa yang menyedihkan, rupa bentuk dalamannya dan spritualnya bagi saya masih sama dan ada keluhan dari seorang ustazah bahawa masalah disiplin lebih parah berbanding masa lalu. Tapi, mungkin ini perkara biasa hasil kecelaruan suasana dan kesuraman cuaca masyarakat kita. Sekolah-sekolah agama seperti ini, umpama pusat pemulihan akhlak apabila kerenah dan perangai degil anak-anak di rumah, tidak mampu lagi diladeni dengan rapi dan sukar dikawal dengan baik.

Oleh itu, sekolah-sekolah agama seperti ini, menjadi fokus tumpuan ibu bapa terutama mereka yang ada kesedaran agama dengan cita-cita dan harapan anak mereka mampu menjadi anak yang berguna. Suasana di luar yang sendat dengan hiburan dan penghakisan budaya agama, menjadikan ibu bapa kurang yakin meletakkan anak-anak mereka sebaris dengan pelajar-pelajar sekolah menengah biasa.

Tapi, bila diteliti, persepsi dan fenomena ini mampu menatijahkan sesuatu yang baik. Memandang agama sebagai jalan penyelesaian masalah-masalah moral, adalah sesuatu yang tepat. Tetapi, sesuatu kesilapan apabila ibu bapa hanya mencampakkan tanggungjawab yang berat ini kepada guru-guru semata-mata. Oleh itu, yang pening dan kusut adalah guru. Sepatutnya ibu bapa perlu juga memainkan peranan mereka. Membiarkan hanya tenaga pendidik terkontang-kanting tanpa ada tangan yang sudi menghulur bantuan akan menjadikan cita-cita hanya tinggal angan-angan.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: