Ahad, Oktober 29, 2006

Sedihnya ditinggal kekasih.

Bismillah. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah. Selawat dan salam buat Rasulullah dan seluruh pejuang agama Allah.

Lama sudah jemari tidak menari di atas papan kekunci. Demikian kerana keripuhan menyambut aidilfitri. Sudah lama juga saya ingin menulis tajuk ini. Oleh kerana malas, kesuntukan masa dan Aidilfitri, maka hajat dan niat belum tertunai.

Kekasih adalah nama terbitan bagi kasih yang beerti sayang, cinta dan suka. Kekasih (dari satu sudut pandangan pada manusia) membawa erti manusia, insan atau individu yang disayangi, dicintai dan disukai.

Bagi mereka yang punya kekasih hati, pastinya dia amat menyintai, menyayangi dan hampir-hampir dia sanggup lakukan apa saja. Demikian adalah tanda kasih dan sayang, cinta dan suka.

Oleh kerana cinta, maka kehendak si dia sanggup di tunai walau sampai mengorban nyawa. Madah dan kalam-kalam pemanis telinga juga sering bermain di tubir bibir. Janji-janji setia sehidup dan semati sering diungkap hingga menyusuk hati.

Akhirnya, bila cinta sudah terpahat di jiwa, saat-saat perpisahan adalah suatu yang mengundang mala petaka. Demikianlah adat dan kelaziman manusia, sedih akan menyelubungi jiwa bila orang atau apa jua yang dicinta, meninggalkan jiwa. Demikian juga mereka yang punya kekasih. Hati akan sedih bila ditinggal kekasih. Jiwa akan merana, hati akan luka dan hidup menjadi tidak tentu hala.

Itulah penangan cinta dan sedikit gambaran berkaitan kekasih.


Ramadhan yang mengandungi malam yang lebih baik dari seribu bulan, yang ada rahmat, keampunan dan pelepasan dari neraka jahannam, hampir seminggu telah meninggalkan kita. Syaitan juga telah seminggu dilepaskan dari penjara. Sudah seminggu juga dia menggoda manusia meneruskan kelangsungan tugas yang terberhenti seketika kerana ramadhan menjelma. Demikian kita telah ditinggalkan oleh ramadhan yang amat mulia.

Bila kita kembali menyingkap sejarah, kita boleh melihat sebilangan alim ulamak menangisi pemergian ramadhan. Air mata mengalir tidak henti-henti. Sebak di dada tidak tertanggung mahu di rasa. Semua ini kerana jiwa telah ditinggalkan si dia kekasih penawar jiwa iaitu ramadhan yang mulia.

Bagaimana pula dengan kita? Apakah perasaan bila ditinggalkan ramadhan? Adakah kita menangisi pemergiannya? Atau kita gembira kerana aidilfitri menjelma dan tidak perlu lagi susah payah berpuasa.

Barikillah humma lana fi syahri ramadhan. Allahumma ballighna ramadhan....

Salam aidilfitri buat semua. Maaf zahir dan batin....

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: