Jumaat, Julai 14, 2006

Jangan Salahkan Allah bhgn. 2

Bismillah...

Di dalam tafsir Ibnu Kathir, telah menjelaskan ayat وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا sebagai sesuatu selepas sesuatu dan dijelaskan ayat وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ sebagai “telah Kami (Allah) memperbanyakkan kepada mereka hujan dari langit yang meliputi bumi mereka.”

Manakala dalam tafsir Jalalain ayat وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ beerti hujan, مِدْرَارًا beerti berturut-turut dan ayat تَحْتِهِمْ bermaksud di bawah kediaman mereka.

Kesimpulannya bahawa bumi mereka sentiasa subur. Allah tidak putus-putus menurunkan hujan dari langit. Maka, dengan hujan tersebut, bumi mereka sentiasa basah dan dilimpahi air yang banyak. Maka, dengan air tersebut akan tumbuh suburlah tanam-tanaman. Dengan tanam-tanaman inilah mereka mampu meneruskan kehidupan dengan baik. Pertumbuhan ekonomi akan menjadi pesat dan perjalanannya menjadi lancar. Ia membolehkan penduduknya hidup dalam keadaan cukup dan serba mewah. Ternakan juga akan terus berkembang hasil kurniaan hujan yang tidak putus dari Allah.

Inilah antara beberapa ciri-ciri dan keistimewaan umat terdahulu yang Allah katakan sebagai nikmat dan keistimewaan yang tidak pernah Allah kurniakan kepada umat dan golongan sebelumnya. Ia jelas memberitahu kepada kita betapa besar dan tingginya rahmat, kurniaan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.

Seterusnya, jika kita teliti dan amati keterangan-keterangan di atas, kita akan dapati bahawa segala apa yang telah Allah sebutkan di dalam kitab-Nya yang mulia adalah saling tidak tumpah dengan apa yang kita perolehi hari ini. Beberapa ciri dan keistimewaan yang Allah sebutkan, secara realitinya sedang kita nikmati dan kecapi.

Kedudukan yang teguh dan kukuh, pangkat, harta, anak-anak, kelapangan hidup,kemuliaan, pembangunan dan kehormatan adalah antara nikmat yang sedang kita kecapi. Begitu juga dengan hujan yang turun dari langit, air sungai dan laut yang tidak pernah kontang, segalanya sedang kita nikmati. Walau mungkin tidak semua dikalangan kita menikmatinya, namun, kebanyakan kita merasai segala nikmat ini.

Kurniaan-kurniaan Allah dan pemberian-Nya kepada mereka sebagaimana Allah rakam dalam ayat ini, kemudiannya dihancur dan dibinasakan bersama-sama mereka. Ini jelas pada kalimah فَأَهْلَكْنَاهُمْ beerti “maka Kami (Allah) membinasakan mereka.” Kemudian Allah menerangkan dan menjelaskan sebab mereka dihancurmusnahkan. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan kerana dosa dan kesalahan mereka.

Apakah yang dikatakan dosa? Kenapa kerana dosa, Allah tidak teragak-agak memusnahkan mereka. Bukankah sebelumnya telah Allah beri kurnia dan nikmat yang amat banyak. Bukankah juga sebelumnya Allah menunjukkan kasih sayang-Nya yang amat sangat kepada mereka. Tiba-tiba Allah menghancurkan mereka.

bersambung...


Wallahu a'lam

Tiada ulasan: