Rabu, Julai 26, 2006

Ucapan Pengarah The Annual Festival of BKPJM 2006

Bimillah. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Pencipta alam yang penuh indah. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan, penyudah segala wahyu dan utusan ummah, juga buat sahabat-sahabat baginda yang memperjuang Islam hingga ke penyudah, para pengikut sahabat serta sekalian tabi’ tabi’in pejuang agama Allah.

Tiada lafaz untuk dikata, tiada madah untuk ditatah, tiada tinta untuk ditumpah, melainkan luahan syukur metah ke hadrat Allah di atas segala curahan nikmat yang tiada berkesudah. Buat julung kalinya, BKPJM melakar sejarah amat indah dengan mengadakan program The Annual Festival of BKPJM 2006 (AF 06). Ia berdasarkan kaedah dan teknik terkini, diadun bersama konsep dan tujuan yang sama seperti tahun-tahun dulu. Namun, BKPJM tahun ini dengan berani, mengubah rentak, menghimpun beberapa program lazim berbentuk tahunan di dalam satu padang dan taman bernama AF 06.

Program yang bermotifkan ukhwah dan bertunjangkan sifat bahu-membahu serta kemajuan ummah ini diharap senantiasa dalam lembayung Allah dan selalu di dalam pertolongan-Nya. Mudah-mudahan ia berjalan lancar dan rapi. Moga-moga ia menjadi tali pengikat yang ampuh bagi anak-anak Johor di perlembahan nil dan ikatannya diharapkan terus kukuh hingga ke tanah air kelak.

Pada kesempatan ini, saya menyusun sepuluh jari memohon jutaan kemaafan, dari hujung rambut hingga ke hujung kuku sekiranya ada di sana cangung yang mengundang bingung, ada resah yang tidak sudah, ada salah dan silap yang membuat mata sukar dilelap. Salam dihulur, maaf dipohon.

Sejuta penghargaan dan ribuan terima kasih tidak terhingga buat Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, barisan BP dan Hewi PMRAM, barisan Ajkt dan Hewi BKPJM, barisan Eksekutif perlaksana, ahli jawatan kuasa kecil dan seluruh mereka yang bertungkus lumus memeras upaya secara langsung atau tidak dalam memastikan program ini terlaksana dan berjalan dengan jaya. Terima kasih sekali lagi buat semua. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi kalian.

Akhir kata, The Annual Festival of BKPJM akan menjadi nostalgia manis buat kita semua. Pastinya babak-babak dalam episod AF 06 akan sentiasa dalam ingatan dan kotak fikir kita. Moga segala apa yang kita bikin, menjadi saham ketika berhadapan Tuhan di padang mahsyar kelak. Hingga bertemu lagi dilain masa.

Sekian, wasslam...

Hafiz Noramli bin Halimi
Pengarah,
The Annual Festival of BKPJM 2006.

Tiada ulasan: