Sabtu, Julai 01, 2006

Sejarah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Semalam bila Rasul datang ke rumah saya, sedang saya menjengah beliau yang sedang asyik menatap dekstop, tiba-tiba terpacul dari tubir bibirnya bertanyakan kepada saya.

"Nak ABC ke?"

Semalam juga ketika pulang dari solat jumaat, entah kenapa lidah saya menutur bicara buat Rasul.

"Bang! ABC satu bang."

Demikian antara dua episod yang berlaku semalam.

Sejarah adalah perkara yang telah berlalu. Ia juga merupakan peristiwa yang benar-benar berlaku pada masa lampau. Peristiwa dan perkara yang berlaku berjuta-juta abad sebelum masihi merupakan suatu sejarah. Begitu juga apa yang berlaku pada awal permulaan masihi, apa yang terjadi pada 1400 tahun lalu, apa yang berlaku tahun lepas, peristiwa yang terjadi kelmarin hinggalah sesaat yang baru sahaja berlalu, semuanya adalah sejarah.

Sejarah merupakan suatu fakta dan bukti yang sangat tepat bagi sesuatu peristiwa. Sejarah juga merupakan rujukan yang paling ampuh bagi menilai dan meladeni sesuatu. Sejarah juga merupakan kenangan dan imbauan masa lalu.

Empat hari telah pun berlalu. Ia telah menjadi sejarah. Perjalanan dan peristiwa Bazar Seri Selatan telah terakam dan kini hanya menjadi kenangan, ingatan serta imbauan masa lalu. Fitrah manusia, gemar kepada benda-benda yang menyeronokkan dan gembira. Benda-benda dan perkara-perkara seperti ini bila telah berlalu, manusia suka mengimbau dan sering menjadi sebutan.

Begitulah apa yang berlaku pada peristiwa Bazar Seri Selatan. Kenangannya amat indah hingga bila ia usai, semacam menjadi igauan dalam ingatan yang amat sukar dilupakan. Maka, kerana itu berlakulah sebagaimana dua episod di atas. Biarpun Bazar Seri Selatan sudah pun melabuh tirai, tetapi plot-plot cerita yang berlaku sepanjang Bazar masih menjadi mainan lidah.

Alhamdulillah. Bazar Seri Selatan telah melabuhkan tirai. Menamatkan sebuah episod dalam kisah dan sejarah BKPJM dengan meninggalkan suatu kenangan yang amat estetik. Tahniah kepada semua yang telah berjaya melaksanakannya dengan gemilang. Terima kasih di atas segala usaha dan daya yang dicurahkan oleh semua pihak kepada BKPJM. Apa yang kita lakukan, tidak lain tidak bukan semuanya adalah kerja-kerja Islam. Moga Bazar Seri Selatan menjadi satu langkah buat kita untuk terus komit kepada BKPJM, PMRAM dan sebagai batu asah dan loncatan kepada gerakan-gerakan memaju dan membangunkan Islam.

Islam semakin hari semakin ditindas, ditekan dan dihenyak-henyak oleh syaitan-syaitan laknatullah seperti Zionis dan juak-juaknya. Hari ini mungkin kita gembira. Begitu juga semalam, kelmarin dan sepanjang perjalanan Bazar Seri Selatan, perasaan kita amat gembira dan ceria. Walau mungkin ada beberapa peristiwa sadis, ia tidak menenggelamkan kegembiraan yang menyerap resap ke dasar hati kita.

Namun, dalam kegembiraan, jangan kita lupa tugas dan peranan kita. Jangan kita lupa untuk bersyukur. Jangan juga kita lupa bahawa ramai saudara kita sedang mengimbau sejarah hitam yang berlaku semalam. Palestin; buminya kini sudah tidak ada lagi kalimah tenang, aman dan damai. Minit-minit yang berlalu, merakam jutaan empangan air mata dan darah yang tidak pernah kering membanjiri buminya. Wajib bagi kita semua bersatu dan mencipta ketumbukan kekuatan menentang musuh-musuh Islam. Ketepikan segala kepincangan. Buang masalah-masalah yang memecah ummah. Campak jauh-jauh perbincangan yang eksterimis pada masalah furuk dan khilafiah.

Allahumma ansuril islama wal muslimin, Alhumma an suril islama wal mujahidin fi palestin, fi afghanistan, fi kulli makan.....


Wallahu a'lam...

Tiada ulasan: