Selasa, Ogos 22, 2006

Begitu juga dengan kejayaan…

Bismillah

Kita mengambil maksud sedikit potongan daripada sabda Junjungan Besar kita Nabi Muhammad s.a.w sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Turmuzi dan diiktiraf oleh beliau sebagai hadis sohih.

"Ketahuilah sesungguhnya kalau sekalian umat berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan memberikan sesuatu manfaat itu kepadamu kecuali apa yang telah Allah tuliskan buatmu."

Ayuh kita lihat maksud ungkapan sabda Nabi s.a.w. Sekali imbas, tanpa perlu penelitian dan amatan yang mendalam, kita akan dapat memahami bahawa manusia sebenarnya tidak punya apa-apa. Demikian secara umumnya. Begitu juga kalau dilihat secara khusus berkaitan manfaat, faedah, nikmat atau apa jua perkara yang membawa maksud manfaat, hakikatnya manusia tidak punya apa-apa melainkan apa yang telah Allah tetapkan.

Walau dihimpun seluruh umat, ketumbukan kuasa momentum seluruh tenaga umat tersebut pastinya tidak akan mampu mencipta walau hanya sezarah manfaat buat manusia. Kita perhatikan betapa sebilangan besar umpama itu langsung tidak punya daya membina manfaat, apa lagi kalau sebilangan kecil daripada mereka atau mungkin salah seorang daripadanya. Maka, lebih-lebih lagi dia sangat lemah mencipta manfaat buat manusia.

Maka, jelas memberitahu kita bahawa penghafalan, solat malam, tadah tangan mohon nusrah Allah Taala bukanlah sesuatu yang mutlak sebagai penyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan seseorang. Ia tidak lebih hanya sekadar asbab atau sebab kepada turunnya pertolongan dan pemberian nikmat Allah Yang Maha Kuasa kepada hamba-Nya.

Oleh itu, jangan sekali-kali kita angkuh mendabik dada sambil berkata aku berjaya dengan kehadiran aku yang tidak pernah putus ke kuliah. Aku berrjaya dengan menghafaz semua huruf dalam kitab. Aku berjaya juga dengan solat malam yang tidak pernah henti. Maka, secara tidak langsung ungkapan seumpama ini bakal menukar nikmat kepada niqmah. Oleh yang demikian, bersyukurlah dengan setiap kurniaan Allah. Harus yakin dan percaya serta sematkan di dalam jiwa bahawa kejayaan juga milik mutlak Allah.

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: