Ahad, Ogos 27, 2006

Saatan, saatan; Hiburan di zaman Rasul Agung... bhgn 2

Bismillah

Sesungguhnya manusia itu dilahirkan dan diciptakan Allah s.w.t di atas bumi ini bersama beberapa fitrah dan keadaan yang statik. Begitu juga dengan sekalian ciptaan Yang Maha Esa. Kita lihat burung yang terbang di langit. Allah telah menciptanya dengan fitrah sebagai seekor burung. Ia mempunyai kepak, berparuh, punyai mata yang sebeleh menyebelah tidak sama seperti kita manusia. Ia boleh terbang tanpa menggunakan injen Boeng 737. Itulah fitrah yang sedia Allah ciptakan untuknya.

Kita lihat matahari. Fitrah yang Allah letakkan padanya sebagai pembekal cahaya kepada manusia. Matahari tidak pernah makan nasi kandar seperti manusia. Ia juga tidak pernah makan ful seperti masyarakat Mesir memakannya. Tugasnya memberi cahaya dan berpusing mengikut garisan yang telah sedia Allah ciptakan. Inilah fitrah semulajadi yang Allah ciptakan buat matahari.

Manusia makan. Kita semua punyai lidah. Ada kekuatan untuk merasa. Kita punyai akal. Ada kekuatan untuk berfikir. Kita boleh bergerak bebas dan berlari laju. Itulah antara sifat semulajadi yang Allah ciptakan kepada manusia. Keinginan hati untuk berseronok, bersuka ria dan bergembira merupakan fitrah manusia juga. Pastinya, tidak ada seorang manusia di dunia ini yang jiwanya tidak ingin kepada keseronokan.

Suatu lumrah yang tidak dapat dipisahkan dari kehidupan kita ini ialah berhibur. Manusia sangat inginkan kepada hiburan. Kerana telah tersedia dalam jiwa manusia sifat bosan, jemu, tidak suka dan pelbagai sifat yang kadang-kadang membikin hati lesu dan letai. Baginda Ali r.a pernah berkata: "Sesungguhnya hati itu bisa bosan seperti badan. Oleh itu, carilah segi-segi kebijaksanaan demi kepentingan hati."

Islam; satu agama yang amat sesuai dan amat cocok dengan lingkaran fitrah semulajadi yang memusari kehidupan kita. Oleh itu, Islam tidak pernah melarang untuk kita isi jiwa agar tidak jemu dan bosan. Saidina Ali r.a pernah berkata: "Rehatkanlah hatimu sekadarnya, kerana hati itu apabila tidak suka, bisa buta."

Baginda Nabi Muhammad s.a.w juga pernah berhibur dan bergurau senda bersama isterinya. Riwayat daripada Ahmad dan Abu Daud bahawasanya Saidatina Aisyah telah berkata: "Rasulullah telah bertanding denganku dan aku menang. Kemudian aku berhenti sehingga badanku menjadi gemuk, Rasulullah bertanding lagi denganku dan baginda menang. Kemudian baginda bersabda: Kemenangan ini untuk kemenangan itu."

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: