Rabu, Ogos 16, 2006

Saatan, saatan; Hiburan di zaman Rasul Agung... bhgn 1

Bismillah...

Secara ringkas hiburan seperti di dalam kamus dewan berasal dari perkataan hibur yang membawa erti menyenangkan atau menghiburkan hati. Penambahan imbuhan "...an" pada perkataan hibur membawa maksud sesuatu yang menyenang dan mententeramkan hati. Daripada takrif ini, pandangan secara rambang atau penelitian secara rasional sama ada secara negatif mahupun fozitif kedua-duanya boleh diterima. Kerana takrif ini masih umum dan sesuatu yang menyenang dan menghiburkan hati itu boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu mengambilnya dengan wadah negatif mahupun fozitif. Mendengar muzik heavy metal, minum arak, membaca al-Quran ataupun berzikir mengingat Tuhan.

Untuk permulaannya, mari sama-sama kita kayuh mudik, mengimbas sejarah hiburan di zaman Rasul Agung mengenai kisah klise yang sering menjadi buah mulut penceramah-penceramah dan orang kita berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa Nabi s.a.w di bawa naik ke langit merupakan kisah yang tidak asing bagi kita terutama bila Rejab menjelma. Dalam kitab sirah menyatakan peristiwa ini berlaku pada ketika Nabi saw dirundung malang. Wanita pertama memeluk Islam yang juga merupakan permaisuri hati Baginda s.a.w telah dijemput menghadap Allah. Menyusul beberapa ketika bapa saudara yang amat dicintai dan yang paling banyak membelanya dijemput sama mengiring isteri tercinta mengahadap Allah. Inilah antara peristiwa sedih yang menimpa baginda s.a.w yang akhirnya Allah menghiburkan hati baginda dengan membawa baginda bertemu-Nya.

Seterusnya, mari kita sama-sama menelaah surah yang paling pendek di dalam al-Quran yang mana Allah rakamkan surah ini sebagai tasliah al-Qalb Rasul akibat daripada beberapa peristiwa sedih yang menimpa Nabi s.a.w.

Antara sebab diturunkan surah ini sepertimana yang dikeluarkan oleh Ibnu Munzir daripada Ibnu Juraih telah berkata: "Telah sampai kepadaku, sesungguhnya ketika Ibrahim anak baginda Nabi saw meninggal dunia, orang Quraish berkata: "Muhammad tidak ada anak." Maka Rasulullah saw rasa marah dengan keadaan yang demikian. Maka turunlah ayat pertama surah al-Kauthar untuk memuliakan baginda Nabi s.a.w."

Walaupun tidak dinyatakan secara terang dan jelas bahawa turunnya surah al-Kauthar sebagai pengubat duka atau penghibur hati nabi, namun perkara ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata: "Ketika kami dan Rasulullah s.a.w berada di tengah masjid, pada ketika itu Rasulullah mengantuk kemudian baginda mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Kami bertanya apa yang mengembirakan kau wahai Rasulullah?" Rasulullah berkata: "Sesungguhnya telah diturunkan kepada aku pada masa lalu suatu surah." Maka Rasulullah saw membaca surah al-Kauthar sehingga habis." Maka, daripada hadis ini dapatlah kita ertikan bahawasanya surah ini diturunkan bagi mengubat hati Rasul s.a.w.

Ringkasnya; di dalam Tafsir Munir, dinyatakan kesimpulan daripada beberapa sebab turunnya surah ini. Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan: "Sebab turun surah ini kerana pihak kufar merendahkan Nabi s.a.w, memperkecilkan pengikut baginda, menghina kematian anak lelaki baginda s.a.w dan orang kafir gembira dengan kepayahan yang menimpa orang mukmin. Maka diturunkan ayat ini untuk memberitahu bahawa sesungguhnya Rasul s.a.w punyai kekuatan dan pengikut baginda adalah orang yang kuat. Sesungguhnya kematian anak baginda s.a.w tidaklah melemahkannya dan kebencian orang-orang kafir tidak meninggalkan apa-apa melainkan mereka semakin jauh dari kebaikan."

Begitulah apa yang diceritakan di dalam Tafsir Munir. Baginda Nabi s.a.w dicela, direndahkan dan diherdik golongan kufar. Namun, hati baginda telah ditenang dan ditenteramkan Allah dengan turunnya surah ini.

bersambung...

Wallahu a'lam

Tiada ulasan: