Isnin, Ogos 21, 2006

Kegagalan dan kejayaan adalah milik mutlak Allah

Bismillah

Kegagalan dan kejayaan adalah milik mutlak Allah

Firman Allah Taala

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. (al-Baqarah: 107)

Imam Ibnu Kathir di dalam kitab tafsir beliau menafsirkan ayat di atas sebagaimana berikut:

"Ayat ini adalah sebagai petunjuk kepada hamba-Nya bahawa Dia adalah berkuasa pada ciptaan-Nya dengan apa yang Dia kehendaki. Bagi-Nya mencipta dan memerintah dan Dialah berkuasa sebagaimana mencipta mereka sebagaimana yang Dia kehendaki dan memberi kesejahteraan dan kesengsaraan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dia memberi sihat dan sakit kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia membantu dan membiarkan kepada siapa yang Dia kehendaki. Begitu juga Dia menghukumkan pada hambanya dengan apa yang Dia kehendaki dan Dialah yang menghukum apa yang Dia kehendaki tanpa diperbahas apa yang dihukum dan dipersoal apa yang dilakukan ..."

Firman Allah Taala lagi

وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ali Imran: 187)

Imam Ibnu Kathir menyatakan tafsiran ayat di atas sebagaimana berikut:

"Dialah Penguasa dan Raja setiap sesuatu dan berkuasa atas setiap sesuatu. Tidak ada sesuatu pun yang melemahkan-Nya. Maka Dia mengurniakannya dan tidak berpaling. Dan Dia memberi peringatan tentang kemarahan-Nya dan pembalasan-Nya. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Maha Agung tiada keagungan selain-Nya. Dialah Yang Maha Kuasa yang tidak ada yang lebih berkuasa daripada-Nya."

Maka, oleh yang demikian, tidak ada wang dalam lipatan dan tidak ada emas dalam tanah yang tersembunyi, yang perlu dicari, dikaji dan digali dalam kita meneliti dan mengamati dua firman Allah sebagaimana di atas.

Terang lagi bersuluh, jelas lagi nyata apa yang Allah nyatakan dalam kitab suci-Nya. Sesungguhnya setiap zarah yang sekecil-kecil ciptaan-Nya hingga seluas-luas alam yang tiada hujungnya, adalah dalam genggaman dan kekuasaan Allah Taala. Tiada satu pun yang tercicir mahupun tertinggal dari penguasaan dan pentadbiran Yang Maha Esa.

Demikianlah secara ringkas dan umum beberapa perkara dan pengajaran yang boleh kita ambil dari dua ayat yang telah dinyatakan tadi. Oleh yang demikian, bila kita lihat dan pandang beberapa perkara yang masih lagi berlegar dan masih lagi hangat di sekitar kita. Maka, tidak boleh tidak kita perlu akur dan terima bahawa semua itu adalah milik mutlak Allah Taala. Kejayaan dan kegagalan adalah milik mutlak dan hakiki kepunyaan Allah Yang Maha Esa. Dia sangat berhak dan boleh melakukan apa saja.

Jangan sekali-kali kita menutur dan berbicara bahawa apa guna solat malam. Apa guna berdoa dan merintih di hadapan Allah. Apa guna sempurna dihafaz satu kitab dan apa gunanya aku berusaha. Ingatlah, yakin dan percayalah bahawa segalanya adalah ketentuan dan kuasa mutlak Allah Taala.

Akhir kalam. Mari sama kita renung sabda Nabi s.a.w

عَنْ ‏ ‏ابْنِ عَبَّاسٍ ‏ ‏قَالَ ‏ كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَوْمًا فَقَالَ يَا غُلَامُ ‏ ‏إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ ‏ ‏رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ ‏ ‏وَجَفَّتْ الصُّحُفُ ‏ قَالَ ‏ ‏هَذَا ‏ ‏حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ

Maksudnya: Peliharalah Allah, nescaya Allah akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya akan engkau dapati Dia di hadapanmu. Apabila kamu mahu meminta, maka pintalah pada Allah dan apabila kamu perlukan pertolongan, maka pohonlah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya kalau sekalian umat berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan memberikan sesuatu manfaat itu kepadamu kecuali apa yang telah Allah tuliskan buatmu. Dan sekiranya mereka berhimpun hendak memudaratkanmu dengan sesuatu, nescaya mereka tidak akan memudaratkan sesuatu melainkan apa yang telah benar-benar Allah tuliskan ke atasmu. Terangkatlah kalam dan keringlah suhuf. (HR Tirmizdi.)
Wallahu a'lam


Tiada ulasan: