Selasa, April 04, 2006

Bid'ah (i)

Oleh Ilham harapan

Perkara-perkara bidah dan suatu yang direka dalam agama amatlah dicela sepertimana penyataan hadis di atas. Apa jua amalan yang tiada nas dan dalilnya, haruslah ditolak dan diperangi. Tetapi, bagi pandangan saya, sebelum kita menolak dan memerangi perkara bidah dan benda-benda yang direka dalam agama ini, perlulah kita memahami dan menguasai erti, konsep dan makna bidah secara jelas, kolektif dan hakikatnya. Kerana sekiranya ia tidak dikuasai dengan baik, takut-takut kita menghukum, menolak dan memerangi perkara yang bukan bidah. Sebelum saya meneruskan, ingin saya menerangkan perkataan Nabi dalam hadis di atas.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:"Sebaik-baik perkara adalah Kitab Allah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad, dan seburuk-buruk perkara adalah yang direka-reka (bidah), dan setiap bidah adalah dholalah (sesat)."
(H.R Muslim bil 867, pada bab meringankan sembahyang dan khutbah dalam bab Solat Jumaat)

Dalam kitab Sohih Muslim dengan Syarah Imam Nawawi pada juruk ke-6 M/S 166 cetakan Muassasatul Mukhtar, Kaherah, Imam Nawawi menerangkan maksud perkataan 'setiap bidah'. sebagaimana berikut:"Perkataan 'setiap bidah' diperkuatkan dengan kata 'setiap' tetapi dimasukkan di dalamnya pengkhususan."

Maksudnya: Perkataan setiap di dalam hadis tersebut, bukanlah beerti semua sekali kerana lafaz ini adalah lafaz umum dan ada pengkhususannya seperti ayat 25 dalam surah al-Ahqaf.
Maksud firman Allah: "Kami menghancurkan setiap sesuatu..."Dalam tafsir Munir karangan Prof Dr Wahbah Zuhaili menerangkan perkataan 'setiap suatu' beerti setiap suatu daripada jiwa dan harta. Ini jelas menunjukkan bahawa kata 'setiap' bukan beerti semua sekali. Ia umum dan ada pengkhususannya.

Seterusnya hadis Nabi yang bermaksud: "Siapa yang mereka-reka (mencipta) dalam perkara kami ini (dalam agama Islam) yang bukan daripadanya (bukan dari ajaran Islam), maka ia tertolak. (H.R Muslim)

Bersambung...

Tiada ulasan: