Sabtu, April 15, 2006

Singapura politikkan isu jambatan - Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 13 April - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Singapura telah mempolitikkan isu projek jambatan menggantikan Tambak Johor dengan meminta penjualan pasir dan ruang udara sebagai pertukaran atas persetujuan membenarkan pembinaan jambatan tersebut.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pada peringkat awal Singapura tidakpun membantah projek itu tetapi kemudiannya mengambil kesempatan `mengorek' hal-hal lain bagi menyekat pelaksanaan projek itu.

``Oleh kerana kita tunggu (persetujuan Singapura), akibatnya projek itu telah dijadikan isu oleh Singapura, macam isu air (yang turut menjadi isu tertunggak antara Malaysia dan republik itu),'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk Krisis Kepimpinan dan Teknik-Teknik Komunikasi Strategik pada Forum Krisis dan Risiko: Pendekatan Hadhari, Penjelasan dan Relevannya kepada Cabaran-Cabaran Global Kontemporari di sini hari ini.

Dr. Mahathir mengulas keputusan kerajaan semalam membatalkan pembinaan projek jambatan itu dan menghentikan rundingan dengan republik itu.

Menurut beliau, Singapura sentiasa suka menimbulkan masalah sambil memberi contoh isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pusat (CPF) melibatkan rakyat Semenanjung yang bekerja di republik itu.

Menurut Dr. Mahathir, CPF adalah milik rakyat negara ini dan jika Singapura boleh menyelesaikan isu CPF bagi pekerja dari Sabah dan Sarawak, mengapa ia tidak boleh tangani isu CPF melibatkan pekerja dari Semenanjung.

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan kerajaan semalam kerana sudah banyak kali kerajaan mengkaji semula keputusannya demi kepentingan rakyat termasuk dalam isu kenaikan kadar tol.

-Utusan Malaysia-

Tiada ulasan: