Sabtu, April 15, 2006

Kedatangan Datuk Panglima Abdul Kadir Syeikh Fadzir

Oleh Ilham Harapan

Jumaat, 14 April 2006, satu majlis ramah mesra telah diadakan bersama tetamu dari Malaysia iaitu Datuk Panglima Abdul Kadir Syeikh Fadzir. Buat julung kalinya anak-anak Malaysia di perlembahan Nil dikunjungai beliau yang merupakan wakil khas Perdana Menteri Malaysia ke Timur Tengah dan Afrika Selatan.

Buat pertama kalinya juga kaki saya telah dibawa Allah melangkah ke dewan besar Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA). Sebelum ini, siswa dan siswi perlembahan Nil ini telah pun dikunjungi oleh beberapa orang menteri dan tokoh-tokoh besar negara. Tetapi tidak pernah sekali pun, langkah saya dibawa ke sana (ARMA) untuk sama-sama beramah dan bermesra.

Beliau yang merupakan wakil khas PM kita, melawat beberapa buah negara Arab membawa misi pertubuhan INNA iaitu International Network ........ (N dan A itu saya lupa apa maksudnya). Sebenarnya saya pun kurang jelas apa dia INNA itu. Sebab Datuk Panglima pun tidak ada menerangkannya ketika beliau berucap. (nampaknya saya memang cetek pengetahuan am)

Dalam majlis ramah mesra tersebut, masing-masing menunggu ucapan Datuk Panglima sendiri yang sebelumnya didahului oleh TYT Datuk Duta kita. Dalam hati saya entah apa agaknya kita semua kena basuh malam ini. Kerana sebelum ini, kawan-kawan yang pernah pergi ke majlis seperti ini memberitahu bahawa kadang-kadang majlis seumpama ini, kita siswa dan siswi dijadikan seperti kain lap yang perlu diclorox dengan mesin basuh sharp atau Toshiba dan sebagainya. Kerana, orang kata pelajar Mesir ni pembangkang. Tapi sangkaan saya meleset. Sungguh tidak menyangka beliau membawa ucapan yang harmonis lebih bersifat kebapaan.

Pada permulaan ucapan beliau menyentuh perihal yang bagi saya menyentuh hati nubari. Perihal kedua orang tua kita di kampung. Saya memanglah rindu pada mereka semua. Tiba-tiba Datuk Panglima sebut pula pasal orang tua. Keperitan dan kepayahan mereka dalam mencari wang semata-mata untuk memastikan kelangsungan pengajian kita di bumi kinanah ini. Teringat saya pada ibu ayah di rumah. Beliau juga merayu agar kita semua cepat-cepat habiskan belajar. Ini adalah harapan ibu bapa dan masyarakat seluruhnya.

Keduanya beliau menyentuh perihal kerjaya. Beliau berkata suatu masa dahulu orang Melayu sangat berbangga dan seronok bila bekerja dalam sektor kerajaan. Tetapi pada hari ini seperti yang beliau ucapkan pada malam tersebut menggalakkan agar kita semua tidak semata-mata bergantung kepada pihak kerajaan. Golongan intelek seperti kita harus berani menceburkan diri dalam bidang-bidang swasta atau bekerja sendiri seperti dalam bidang IKS membuat kerepek dan sebagainya. Beliau juga berkata bekerja dengan kerajaan ini tidak kaya. Sebab itu beliau tarik diri dalam menjawat menteri kabinet. (dalam nada seloroh)

Akhir sekali beliau mengigatkan kita semua agar jangan terlibat sangat dengan politik. Di perlembahan Nil ini, yang utama adalah peranan kita mengkaji dan menuntut ilmu sedalamnya. Habiskan pengajian dahulu. Berpolitik setelah tamat pengajian nanti. (Tapi saya konfius dengan Nadi Umno di sini. Bagaiman pula?)

Ada orang kata, tokoh-tokoh negara dan orang politik yang datang ke sini, mereka manis mulut dan sangat pandai bermain kata. Pembawaan ucapan yang harmonis, tenang dan bersifat kebapaan merupakan satu taktik menarik golongan agamawan menyertai mereka. Jadi, orang kata janganlah kita terpengaruh dengan taburan manis yang meniti bibir mereka. Tapi itu kata orang. Pandangan mereka. Mungkin benar mungkin salah. Tapi, أنظر ما قال ولا تنظر من قال.

Kita semua adalah golongan siswazah yang berpindidikan dan punyai akal yang intelek. Dengan akal dan pemikiran yang Allah kurnia, kajilah dan nilailah yang mana satu kaca dan mana satu permata agar yang permata boleh dijadikan teman sepanjang kehidupan dan yang kaca diketepikan. Yang elok dan molek harus terus dijadikan pedoman dan panduan serta yang jelek dan canggung harus dimuhasabah dan diperbaiki dari masa ke semasa. Kita semua diberi Allah anugerah akal fikiran dan nikmat yang sama. Nilai dan teliti sesuatu dengan sebaik mungkin. Jangan sampai akal tersasar dari apa yang Allah dan RasulNya ajarkan. Biar apa pun, yang penting perinsip dan manhaj al-Quran dan Sunnah jangan tergadai. Allah dan Rasulnya terus dijulang. Timbang-timbangkanlah. Jangan sampai arah tersasar takut menyesal di padang mahsyar.

Sekadar pandangan dan berkongsi pengalaman...

Wallahu a’lam

Tiada ulasan: