Sabtu, April 08, 2006

Maulid Nabi s.a.w Pandangan Ulama mengenainya

Oleh MOHD AMIR MD AZMI

Sayyidi as-Syeikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dalam kitabnya "I`anatuth-Tholibin" jilid 3 mukasurat 414 menyatakan antara lain:-

1. Telah berkata Imam al-Hasan al-Bashri: "Aku kasih jika ada bagiku seumpama gunungUhud emas untuk kunafkahkan atas pembacaan maulid ar-Rasul."

2. Telah berkata Imam al-Junaidi al-Baghdadi rhm: "Sesiapa yang hadir mawlid ar-Rasul dan membesarkan kadar baginda, maka telah berjayalah dia dengan iman."

3. Telah berkata Syeikh Ma'ruuf al-Karkhi qds:"Sesiapa yang menyediakan untuk pembacaan maulid ar-Rasul akan makanan, menghimpunkan saudara-saudaranya, menyalakan lampu-lampu, berpakaian baru, berwangi-wangian, berhias-hias, demi membesarkan maulid Junjungan s.a.w., nescaya dia akan dihimpunkanoleh Allah Ta`ala pada hari kiamat bersama-sama kumpulan pertama daripada para nabi dan jadilah dia berada pada setinggi-tinggi syurga. Dan sesiapa yangtelah membaca maulid ar-Rasul s.a.w. ke atas dirham-dirham perak atau emas, dan mencampurkannya bersama dirham-dirham lain, jatuhlah padanya keberkatan dan tidaklah papa si empunyanya serta tidak akan kosong tangannya dengan berkat maulid ar-Rasul s.a.w."

Seterusnya Sidi Syatha dalam "I`anatuth-Tholibin" menyambung:-

1. Dan telah berkata al-Imam al-Yafi`i al-Yamani (sesetengah kitab tersilap cetak di mana huruf "ya" berubah kepada "syin" menyebabkan perkataan ini dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i):- "Sesiapa yang menghimpunkan untuk Maulid Nabi s.a.w.saudara-saudaranya, menyediakan makanan dan tempat serta berbuat ihsan sehingga menjadi sebab untuk pembacaan Maulid Rasul s.a.w., dia akan dibangkitkanAllah pada hari kiamat berserta dengan para siddiqin, syuhada dan solihin serta dimasukkan dia ke dalam syurga-syurga yang penuh kenikmatan."

Tentu ada yang tertanya-tanya, kenapa para ulama ini begitu berani menyatakan kelebihan-kelebihan bermaulid dengan janji-janji nanti akan bersama para anbiya' dan dapat syurga tinggi, sedangkan mereka bukannya Nabi yang diutuskan yang menerima wahyu berhubung perkara ini.

Jawapannya: Dalam kaedah bahasa arab pada membicarakan ilmu ma`ani dalambab khabar dan insyak. Menurut kaedah ini ada jumlah yang nampaknya seperti khabariyyah yang membawa erti perkhabaran atau berita tetapi sebenarnya adalah insya-iyyah yakni menyatakan harapan atau keinginan seseorang. Bahkan seolah-olah dia berdoa. Jadi maknaperkataan ulama tersebut bukannya khabariyyah tetapi lebih kepada insya-iyyah.

Contohnya jika dikatakan "dapat syurga" maka ertinya " aku ingin atau berharap agar dia dimasukkan ke syurga". Hal begini yang menyebabkan ramai yang tidak faham dan keliru dalam memahami perkataan auliya sehingga berani menuduh para auliya dan ulama memandai-mandai memberi jaminan yang bukan hak mereka.

Begitu juga contohnya, Sidi Abdul Qadir al-Jilani pernah berkata: "Tiada orang Islam yang lalu melintasi pintu madrasahku melainkan akan diringankan daripadanya azab pada hari kiamat." (Rujuk manaqibnya yang dikarang oleh Sayyidisy-Syaikh Ja'far al-Barzanjidengan jodol "al-Lujainud-Dani fi Manaqib asy-Syaikh Abdul Qaadir al-Jailani").

Para ulama memberikan berbagai tafsiran berhubung perkataan ini, dan antaranya ialah ini adalah jumlah insya-iyyah walaupun zahirnya berbentuk khabariyyah. Justeru ia merujukkepada harapan Sultan al-Auliya tersebut agar sesiapa,yang pernah melintas pintu madrasahnya diberi keringanan azab pada hari kiamat.

Oleh itu, perlulah difahami betul-betul ilmu sebelum membuat apa-apa tuduhan terhadap para ulama yang amilin yang menjadi sandaran umat. Pelajari dan kuasai ilmu-ilmu alat sebaik para ulama dahulu dan mengikut kaedah bahasa yang terpakai pada zaman-zaman awal Islam dan bukannya kaedah bahasa Arab Qamus Munjid yang dikarang oleh orientalis. Ilmu nahu, sorof, balaghah, bayan, ma`ani, badi' dan lain-lain lagi perlulah betul-betul dikuasai sebelumkita memperlekehkan ulama yang telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk ilmu dan dakwah.

Walau apa pun, segala perkataan ulama tersebut adalah endorsement mereka untuk menggalakkan pembacaan maulid Junjungan Nabi s.a.w. agar lidah dan telinga kita sentiasamenyebut dan mendengar nama Junjungan s.a.w. dan sirah serta kebesaran baginda, dan mudah-mudahan dengan lidah yang menyebut, telinga yang mendengar, maka akan terbit kecintaan dalam hati sanubari kita. Inilah yang dikehendaki oleh ulama agar setiap umat cinta dan kasih serta faham kebesaran dan sirah perjuangan Junjungan s.a.w. untukdiagungkan dan dicontohi. Mudah-mudahan Allah merahmati ulama kita sekaliannya. Al-Fatihah.

Tanbih (sebagai analogi kepada pentingnya pemahaman dari sudut bahasa):

1. Orang membaca al-Quran di kubur hukumnya SUNAT menurut mazhab kita asy-Syafie.
2. Orang membaca al-Quran dikubur hukumnya HARAM ittifaq segala umat. Sebab kalau pun nak dikubur tunggulah si pembaca tersebut mati dulu. Kalau hidup-hidupdikuburkan, membunuh namanya.

Ini baru contoh nahwu bahasa Melayu, bahasa Arab lagilah luas. Oleh itu ilmu alat itu amat penting untuk diketahui dan dipelajari, lebih-lebih lagi bagi sesiapa yang ingin nak jadi mujtahid.

Seterusnya:-

• Telah berkata Syaikh as-Sirri as-Saqathi: "Sesiapa yang mengqasadkan sesuatu tempat yang dibaca padanya Maulid Nabi s.a.w., maka telah dia telah mengqasadkan satu taman dari taman-taman syurga kerana tidaklah dia mengqasadkan tempat demikian selain daripada kecintaannya kepada ar-Rasul s.a.w. Dan telah bersabda Nabi a.s.: "Sesiapa yang mencintaiku adalah dia bersamaku dalam syurga."

Begitulah sahabat semua, qasad itu berupa pemergian ke tempat maulid atau juga bermaksudmembuat maulid. Kenapa kita buat maulid ? Jawapan bagi soalan ini adalah qasadnya kita. Ada orang buat maulid semata-mata menjalankan kebiasaan tradisi, ada yang buat hanya semata-mata hendak membesarkan Junjungan kerana tidakkah Allah telah berfirman: "Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu." Maka seseorang itu diganjari berdasarkan kepada niat dan qasadnya.

Marilah kita bersama-sam menganjurkan maulid, hadir ke maulid, hayati maulid, demi
membesarkan Junjungan s.a.w

Sidi Syatha menyambung:-
• Telah berkata Sulthanul-'Arifin Jalaluddin as-Sayuti dalam kitabnya berjodol "al-Wasaail fi syarhisy Syamaail": "Tidak ada sebuah rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan padanya Maulid Nabi s.a.w. melainkan akan dikelilingi dan diselubungi tempat itu oleh paramalaikat akan ahli yang hadir di tempat tersebut serta diratai mereka oleh Allah dengan rahmat. Para malaikat yang diselubungi, diliputi dan dikalungi cahaya iaituJibril, Mikail, Israfil, Qarbail, 'Aynail, ash-Shaafun, al-Haafun dan al-Karubiyyun, maka bahawasanya mereka berdoa bagi sesiapa yang menjadi sebab untuk pembacaan Mauli Nabi s.a.w."

• Imam as-Sayuti berkata: "Tidak ada seseorang Islam yang diperbacakan dalam rumahnya akan Maulid Nabi s.a.w. melainkan diangkat Allah kemarau, wabak, kebakaran, malapetaka, bala bencana, kesengsaraan, permusuhan, hasad dengki, kejahatan 'ain (sihir pandangan) dan kecurian daripada ahli rumah tersebut, maka apabila dia mati, Allah akan mempermudahkanatasnya menjawab soalan Munkar dan Nakir dan adalah dia ditempatkan pada kedudukan as-Shidq di sisi Allah Raja yang Maha Berkuasa."

Mungkin ada yang bertanya kenapa ada orang baca maulid tetapi masih menerima malapetaka dan bencana. Apa nak kata, hatta para Nabi pun mendapat musibah duniawi sebagai ujian daripada Allah s.w.t., kerana semuanya berlaku atas kehendak Allah semata-mata. Apa jua musibah duniawi adalah ringan berbanding musibah berbentuk maknawi. Keselamatan dari musibah maknawi ini yang diutamakan, biar rumah kita dicuri asalkan iman dan kesabaran serta tawakkal kita pada Allah tidak turut dicuri sama. Mungkin juga Allah belum menerima amalan kita, sehingga ianya tidak menjadi sebab mendapat rahmat Allah tersebut. Oleh itu, teruskan usaha dan tingkatkan amalan. Yakin kepada kemurahan Allah yang tiada terbatas dan carilah syafaat daripada Junjungan s.a.w.

1 ulasan:

dsukar berkata...

Assalammu'alaikum Wr. Wb.
Saya pencinta Nabi Muhammad SAW, sangat sedih dikomplek perumahanku tidak masyarakatnya begitu peduli dengan perayaan Maulid. Saya mohon pencerahan harus bagaimanakah sikap saya.

Wassalam