Rabu, April 12, 2006

S'pura Terkejut Keputusan Batalkan Projek Jambatan

Oleh Jackson Sawatan

SINGAPURA, 12 April (Bernama) -- Singapura terkejut dengan keputusan Malaysia membatalkan pembinaan sebuah jambatan bagi menggantikan Tambak Johor seperti yang diumumkan hari Rabu.

"Kami terperanjat dengan keputusan mengejut ini sedangkan rundingan bagi membina sebuah jambatan masih dijalankan," kata Kementerian Luar dalam kenyataan satu peranggan.

Kenyataan itu dikeluarkan tidak lama selepas Malaysia mengumumkan keputusannya untuk memberhentikan projek membina jambatan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan dalam satu kenyataan bahawa kerajaan Malaysia membuat keputusan itu setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.

Katanya kerajaan juga membuat keputusan untuk memberhentikan semua rundingan berhubung dengan jambatan itu.

Pegawai dari kedua-dua negara telah bertemu sebanyak lima kali sejak September lepas bagi merundingkan mengenai cadangan Malaysia agar sebuah jambatan dibina untuk menggantikan tambak berusia 81 tahun ini, dengan masing-masing menanggung kos pembinaan di kawasan masing-masing.

Singapura bagaimanapun enggan menyertai projek itu dengan alasan ia menelan belanja yang tinggi sedangkan republik itu tidak mendapat sebarang manfaat.

Untuk ia bersetuju, Singapura dilaporkan mahu supaya Malaysia menjual pasir kepadanya bagi projek menambak laut dan agar jet pejuangnya dibenar menggunakan ruang udara Malaysia.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: